Categories: Berita Hiburan

Neelofa & PU Riz Didik Anak Kenal Tuhan Sejak Kecil, Lancar Buku Cetus Inspirasi Ibu Bapa – “Pendidikan Anak-Anak Bermula Dari Rumah.”

Share

Pasangan suami isteri, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dan Neelofa, terus memperkukuh peranan mereka sebagai ikon keluarga Islam moden apabila melancarkan buku terbaharu berjudul Bilal x Mommy Hana, baru-baru ini.

Buku ini merupakan hasil kolaborasi bermakna yang menekankan kepentingan pendidikan berteraskan nilai ketuhanan untuk kanak-kanak.

Majlis pelancaran yang berlangsung di AEON Tebrau, Johor Bahru mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung.

Ia sekaligus mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap usaha memperkasa pendidikan anak-anak melalui pendekatan yang menyeronokkan dan mendidik.

Menurut PU Riz, 30, buku tersebut bukan sekadar bacaan ringan, tetapi satu medium untuk memupuk kecintaan kepada ilmu dan Allah SWT sejak usia kecil.

“Kami setuju jalinkan kerjasama (buku) kerana Bilal sendiri mendapat banyak manfaat daripadanya.

“Melalui buku ini, dia belajar membaca al-Quran dan mengenal nama-nama binatang dalam bahasa Inggeris,” katanya.

PU Riz turut menjelaskan, projek ini bukan sekadar kerjasama duta, sebaliknya satu kolaborasi perniagaan yang mempunyai matlamat mendalam terhadap pembangunan sahsiah anak-anak.

“Tujuan utama kami adalah untuk mengangkat institusi pendidikan kanak-kanak agar mereka mengenal Tuhan di usia muda.

Pendidikan bukan hanya mengenai akademik, tetapi juga membentuk hati dan akhlak,” katanya lagi.

Apa yang menarik, sempena pelancaran tersebut,

PU Riz dan Neelofa turut memberikan RM15,000 kepada pengunjung yang berjaya menyambung ayat al-Quran.

Secara tak langsung, ia menjadikan majlis itu bukan sekadar acara pelancaran buku, tetapi juga medan dakwah yang menginspirasi masyarakat untuk mendekatkan diri kepada al-Quran.

Inspirasi Pengalaman Didik Anak Sulung

Sementara itu, Neelofa berkongsi rasa syukur dan bangga dengan penerbitan buku ini yang diinspirasikan daripada pengalaman sebenar mereka membesarkan anak sulung, Muhammad Bilal.

“Sebagai ibu, saya percaya pendidikan anak-anak bermula dari rumah.

“Buku ini sangat dekat di hati kerana ia menggambarkan cara kami mendidik Bilal iaitu dengan kasih sayang, nilai Islam dan aktiviti yang menyeronokkan.

“Saya berharap ia dapat membantu ibu bapa lain membentuk anak-anak mengenal Tuhan sejak kecil,” katanya.

Buku Bilal x Mommy Hana menggabungkan elemen pendidikan Islam, bahasa dan pembelajaran interaktif, dengan rekaan mesra kanak-kanak yang menarik perhatian pembaca kecil.

Ia dihasilkan bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak melalui pendekatan yang holistik dan penuh kasih sayang.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH