
Penyanyi lagu terkenal Casablanca, Naufal Azrin, 25, berkongsi khabar gembira apabila selamat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Fatin Farhanah Fauzi.
Majlis tersebut dipercayai telah berlangsung secara sederhana di Tumpat, Kelantan pada pagi Ahad, 31 Ogos 2025. Berita bahagia itu disahkan sendiri oleh Naufal menerusi satu perkongsian video di akaun Instagram rasminya.
Menerusi rakaman tersebut, detik akad nikah yang disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan jelas memperlihatkan suasana penuh syahdu dan bermakna.
Pasangan pengantin yang sama cantik dan sama padan bagai pinang dibelah dua ini saling mengenakan persalinan busana baju melayu lengkap samping songket serta baju kurung rona putih senada.
Naufal atau nama sebenarnya Ahmad Naufal Azrin turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM7,000 dan seutas gelang emas kepada isterinya sebagai pelengkap perkahwinan.
Majlis akad nikah itu berlangsung dengan kehadiran keluarga terdekat serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Sebelum ini, Naufal dan Fatin dilaporkan terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada awal Februari 2025 dan mereka telah menjalin cinta lebih tujuh tahun sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan