
Pelakon dan pengacara yang kini aktif dalam dunia fesyen, Karl Shafek menyifatkan kerjasama bersama kumpulan Alpha sebagai satu kebetulan yang gus mengimbau kenangan tersendiri kira-kira sedekad lalu.
Menurut Karl atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim, 45, jenama fesyen yang diusahakannya iaitu Neonate pernah mengeluarkan koleksi yang diberi nama Alpha pada tahun 2015.
Lalu tahun ini, dia kemudiannya berpeluang bekerjasama dengan sebuah kumpulan muzik yang menggunakan nama serupa (ALPHA).
Situasi itu secara langsung dilihat sebagai satu permulaan baharu dalam perkembangan jenama Neonate.
“Untuk saya, ini bukan kolaborasi biasa. Bayangkan 10 tahun lepas saya keluarkan koleksi Alpha. Tiba-tiba, pada 2025, datang pula Alpha dalam bentuk sebenar, dan mereka mahu memakai jenama saya.
“Ia memang rasa macam sesuatu yang sangat mengharukan. Saya terus anggap ia cabaran baharu yang sangat menggembirakan.
“Nama yang sama muncul semula dalam bentuk fizikal dan membawa peluang yang besar untuk jenama kami,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Koleksi Love Story Neonate di Damansara, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Karl akui dia sebenarnya sudah bekerjasama dengan Alpha sejak kemunculan kumpulan itu menerusi pertandingan realiti Big Stage.
Malah, beberapa anggota Alpha juga sudah mengenakan jenama tersebut sejak terbabit di dalam program itu lagi.
“Identiti mereka sangat bertepatan dengan DNA Neonate. Ramai peminat berpendapat mereka kelihatan lebih matang, bergaya dan menonjol apabila mengenakan rekaan kami.
“Saya rasa Neonate memang ‘kena’ untuk Alpha, lebih-lebih lagi dengan gaya tujuh ahli mereka yang masing-masing ada karakter tersendiri,” tambahnya lagi.
Lebih membanggakan, ketika Alpha terbang ke Korea Selatan baru-baru ini, penata gaya di negara itu turut memuji hasil kerja Neonate dan tidak menyangka Malaysia mempunyai jenama yang mampu menghasilkan rekaan seperti itu.
Menurut Karl, pengiktirafan tersebut secara tidak langsung menambah keyakinannya untuk meneruskan kerjasama bersama kumpulan yang dianggotai oleh tujuh pemuda itu dalam projek yang lebih besar yang akan datang.
“Saya difahamkan, ketika mereka terbang ke Korea Selatan sebelum ini, ada penata gaya di sana memuji rekaan Neonate.
“Saya terharu dan bagi saya ia satu hal yang baik buat ‘team’ kami di Neonate. Syukur ada orang luar yang beri maklum balas yang baik,” katanya.
Bagaimanapun, Karl menganggap antara cabaran paling besar adalah bagi memahami karakter setiap ahli Alpha demi memastikan setiap rekaan benar-benar mencerminkan personaliti masing-masing.
“Neonate memang suka bekerja berdasarkan tema dan bila Alpha ada tujuh karakter berbeza, kami jadikan kumpulan itu sendiri sebagai satu tema besar. Setakat ini, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini