Categories: Berita Hiburan

“Nak Buat Sesuatu, Biar Betul-Betul,” – Giliran Izzue Islam & Dehaniff Lancar Lagu Raya, MV ‘Gila’ Siap Bawa Lembu Dari Melaka & Bukan Nak Berlawan Dengan Sesiapa

Share

Kemeriahan Aidilfitri tahun ini semakin terasa apabila ramai penyanyi tempatan tampil melancarkan lagu raya dengan genre dan gaya tersendiri.

Terbaharu, penyanyi Izzue Islam dan Dehaniff juga tidak terkecuali apabila mereka bergandingan menerusi lagu raya duet berjudul Dulu Kini Raya.

Bagi Izzue atau nama lengkapnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, dia amat menyukai naskhah ciptaan Firdaus Rahmat dan John Jeeves itu kerana mengingatkannya kepada momen menyambut Hari Raya ketika masih membesar dan meningkat remaja.

“Lagu ini ada rasa klasik raya yang kita semua rindu, pada masa sama ada juga sentuhan moden supaya generasi sekarang pun suka mendengarnya.

“Memang kedengaran elemen nostalgia macam kenangan kita beraya dulu-dulu cuma bunyinya lebih segar. Itu yang buat saya rasa lagu ini ada identiti tersendiri,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan dengan lagu-lagu raya artis lain yang sering digelar sebagai ‘perang lagu raya’ oleh sesetengah pihak, Izzue melihat perkara itu dari sudut yang lebih positif.

“Bagi saya, ia sebenarnya sihat untuk industri. Lagi banyak lagu raya keluar, lagi meriah suasana raya kita. Saya tak melihat ia sebagai ‘perang’ , tapi lebih kepada rakan-rakan artis sama-sama menambah warna untuk sambutan Aidilfitri.

“Setiap lagu ada peminatnya yang tersendiri. Saya harap, lagu Dulu Kini Raya boleh jadi salah satu lagu yang orang ramai boleh mainkan dalam kereta atau rumah ketika raya nanti, ” jelasnya lagi.

 

Kolaborasi Serasi & Kelainan Video Muzik

Mengulas tentang kerjasama dengan Dehaniff selaku rakan duet, Izzue menjelaskan, penyanyi itu memiliki aura yang sesuai dengan konsep lagu berkenaan.

Malah, selebriti versatil tersebut mengakui berasa gembira sepanjang proses rakaman vokal dan penggambaran video muzik dijalankan.

“Dehaniff ada energi yang sesuai dengan lagu ini. Bekerjasama dengannya bagai ada satu chemistry yang datang dengan sendirinya.

“Jadi, apabila idea untuk buat lagu raya ini datang, saya memang rasa gabungan suara kami berdua boleh membuatkan lagu ini jadi lebih ‘hidup’.

“Untuk pembikinan video muzik pula, memang best dan ada beberapa perkara yang ‘gila-gila’ juga yang kami buat. Banyak momen kelakar dan chaos sepanjang proses penggambaran video muzik lagu ini.

“Dari lokasi set penggambaran, pakaian hinggalah ke babak-babak besar, itu semua memerlukan tenaga yang banyak.

“Paling seronok apabila semua kru dan team bagi komitmen yang sangat padu. Walaupun penat, pengalaman itu tak dapat dilupakan!” ujarnya.

Difahamkan, kos pembikinan video muzik Dulu Kini Raya menelan belanja agak tinggi dan menampilkan beberapa elemen unik di set penggambaran.

Antaranya ialah penggunaan lembu yang dibawa khas dari Melaka serta kren skylift sebagai props .

“Memang ada sedikit ‘gila’ dalam pembikinan video muzik ini, tapi bagi kami, kalau nak buat sesuatu, biar buat betul-betul.

“Kami mahu bagi penonton pengalaman visual yang lain daripada video muzik raya biasa. Apabila ada idea bawa lembu, guna kren skylift dan sebagainya, kami tetap mahu realisasikan walaupun mencabar dan kosnya agak besar.

“Ini bukan soal nak berlawan dengan video muzik lagu raya artis lain, kami cuma mahu buat orang ramai ingat, itu saja.

“Justeru saya berharap agar lagu Dulu Kini Raya boleh jadi lagu kegemaran ramai yang dimainkan setiap kali menjelang lebaran.

“Kalau lagu ini boleh buat orang senyum, teringat kenangan raya atau rasa lebih meriah semasa beraya, itu sudah cukup bermakna bagi saya, ” katanya lagi.

Sementara itu, Dehaniff menyifatkan Izzue sebagai rakan kerja yang mudah bekerjasama dan sangat komited. Pada masa sama, dia percaya lagu tersebut mampu menarik perhatian pendengar daripada pelbagai lapisan umur.

“Lagu ini menggabungkan beberapa genre dan ia mudah untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Apabila dengar lagu ini, ia boleh buat kita rasa gembira.

“Ketika hendak merakam Dulu Kini Raya, saya tidaklah begitu gementar tetapi lebih kepada rasa teruja. Saya percaya, dengan kelainan yang kami tampilkan, Insya-Allah ia boleh menang di hati pendengar, ” katanya.

Dulu Kini Raya kini boleh didengari di pelbagai platform digital, manakala video muzik rasminya juga sudah dilancarkan di YouTube untuk tontonan orang ramai.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH