
Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkaitan kes amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun.
Peguam yang mewakili Naim, Mohd Irwan Sumadi dari The Law Office Of Amirul & Athirah memaklumkan anak guamnya itu membuat pengakuan tersebut dan memohon untuk dibicarakan.
“Sebentar tadi, Naim telah dipertuduhkan di bawah Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang mana anak guam kami telah mengaku tak bersalah dan mohon dibicarakan.
“Hari ini merupakan satu pemula kepada satu proses undang-undang yang panjang dan pada peringkat ini, kami tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai fakta kes.
“Kami juga percaya sistem kehakiman negara akan beri ruang yang adil kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas selasai prosiding di Mahkamah Seksyen Putrajaya pada Selasa.
Sementara itu, peguam Amirul Ridzuan Hanif yang turut mewakili Naim memaklumkan anak guamnya dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada pihak mahkamah.
Pada masa sama, Irwan memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang masih berjalan.
“Kami menyeru kepada semua untuk jangan membuat andaian dan spekulasi.
“Biarkan pihak pembelaan, pendakwaan Jabatan Peguam Negara dan mahkamah yang mulia jalankan tugas masing-masing,” ujarnya lagi.
Terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Ogos depan.
Bagi pertuduhan hari ini, Naim didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.
Pada 4 Jun lalu, media melaporkan penangkapan seorang pelakon dan penyanyi bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa yang berusia 17 tahun itu difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum mereka beberapa kali bertemu susulan perkenalan itu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek kemudiannya membawa mangsa berjumpa di sebuah hotel.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini