
Penyanyi muda bervokal lantang, Danial Chuer berkongsi berita gembira apabila beliau dipilih sebagai Graduan Terbaik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bakal menerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM pada konvokesyen ke-103 universiti itu kelak.
Dalam hantaran di Instagram Story tersebut, Danial yang memuat naik surat yang diterimanya menyatakan rasa syukur kerana segala usaha kerasnya sepanjang pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi terbalas.
“Alhamdulillah, Syukur, Ya Allah, terkedu sekejap apabila dapat e-mel dari UiTM menyatakan saya terpilih untuk menerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM. Salah satu anugerah tertinggi di peringkat UiTM untuk konvokesyen ijazah sarjana muda saya yang akan datang.
“Ini adalah untuk ibu dan dan semua yang bersama saya sepanjang pahit manis perjalanan ini. Saya tahu arwah ayah pasti akan berasa gembira jika dia ada untuk menyaksikan pencapaian ini,” tulisnya.
Baru sahaja kehilangan ayahnya pada November tahun lalu, apabila dihubungi, pemilik nama penuh Danial Chuer bin Hamasiah @ Samsudin ini mendedikasikan kejayaan kepada arwah ayahnya dan ibu yang selama ini menyokong minatnya dalam dunia seni tanpa jemu.
“Ayah saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi seperti kami adik-beradik. Namun, kesemua empat orang adik-beradik berjaya menamatkan pengajian hingga ke universiti hasil usaha dan pengorbanan beliau bersama ibu.
“Cuma, apa yang membuatkan saya terkilan adalah ayah tiada untuk menyaksikan semua ini. Namun saya dapat bayangkan betapa gembiranya beliau jika masih ada bersama,” kongsinya kepada Media Hiburan.
Apa yang menjadikan kisah Danial lebih menyentuh hati adalah bagaimana arwah ayahnya percaya dan meletakkan muzik sebagai satu bentuk medium yang mampu membina jati diri seseorang.
“Sepanjang masa, beliau menyedari bahawa saya mempunyai potensi untuk serius dalam bidang ini. Maka, apabila saya menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan muzik, beliau terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Ayah saya sentiasa menyarankan agar saya belajar hingga ke peringkat PhD, memperoleh gelaran Doktor sekaligus menjadi pensyarah dan mencapai tahap seperti Dato’ Ramli MS serta Ahmad Dhani,” tambahnya lagi.
Selain itu Danial turut berkongsi bahawa bapanya percaya bahawa dunia muzik sangat luas dan sentiasa melabur dari segi wang dan usaha untuk memastikan dirinya mampu belajar dengan baik.
“Pandangan ayah terhadap muzik jauh ke hadapan. Beliau sering berkata bahawa muzik tidak akan pernah mati kerana ia sentiasa berevolusi setiap tahun. Jadi sebagai seorang pemuzik, perlu tahu cara menyesuaikan diri agar tidak ketinggalan
“Ayah tidak pernah berkira apabila melibatkan perbelanjaan untuk minat saya dalam muzik. Malah, ruang tamu di rumah pun diubah menjadi studio mini agar saya memiliki ruang peribadi untuk berlatih dan menghasilkan karya muzik sendiri. Saya tahu beliau sentiasa bangga dengan saya,” ujar jejaka berusia 24 tahun ini lagi.
Imbas kembali, antara kejayaan besar penyanyi muda ini adalah apabila beliau berjaya menggondol gelaran Naib Juara Big Stage musim keempat yang dianjurkan Astro. Kini, setelah tamat pengajian, Danial bergelar pendidik dalam bidang vokal dan piano di The Music Academy Center.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan