
Penyanyi Nadeera Zaini meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak meluahkan seolah sudah rasa jemu melihatnya kerap kali menyanyikan lagu Bukan Lagi Kita dalam pelbagai acara.
Bagi Nadeera, lagu itu membawa makna besar dalam kerjayanya kerana ia menjadi titik tolak kepada popularitinya kini.
“Agak sedih juga bila ada yang kata sebegitu. ‘Bukan Lagi Kita’ itu merupakan lagu pertama yang membuatkan orang ramai mengenali saya.
“Lagu itu juga membawa saya ke suatu tempat yang baharu di mana saya boleh bertanding di sebuah acara berprestij. Saya harap orang boleh menerima kehadiran saya.
“Nak dapat penerimaan seperti ini lagi pada masa hadapan, kita tak tahu lagi. Harapnya adalah rezeki itu,” katanya kepada MH.
Juara Big Stage musim ke-5 itu berkata demikian ketika ditemui di Showcase Big Stage Alpha di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nadeera mengakui risau untuk memenuhi jangkaan tinggi peminat terhadap karya-karya terbarunya, lebih-lebih lagi selepas kejayaan luar biasa lagu Bukan Lagi Kita.
“Sejujurnya, saya memang agak risau. Kejayaan sebuah lagu bergantung kepada rezeki. Kita tak tahu nasib kita pada masa akan datang.
“Buat para peminat, teruskanlah mendoakan saya agar nama saya dapat terus kekal di dalam industri ini.
“Semoga anda boleh terima lagu-lagu saya yang lain seperti mana anda menerima lagu Bukan Lagi Kita,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Nadeera menegaskan populariti tidak menjadikan dirinya terlalu yakin atau meletakkan permintaan yang berlebihan.
“Nama saya tidaklah menaik terlalu mendadak. Kita tetap kena melihat diri sendiri juga. Banyak lagi ilmu yang saya perlu timba. Saya juga mahu memberikan sesuatu yang baru buat peminat.
“Banyak lagi yang perlu saya belajar di dalam industri ini. Bukan sekadar menyanyi sahaja. Mungkin saya boleh ceburi bidang penulisan lagu pula. Selepas itu, barulah kita boleh demand,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini