
Dunia ratu cantik menyaksikan satu detik bersejarah apabila model dan aktivis kemanusiaan Palestin–Kanada, Nadeen Ayoub diumumkan sebagai Miss Universe Palestine 2025. Pelantikan ini sekali gus menandakan kemunculan sulung Palestin di pentas Miss Universe.
Pengumuman rasmi itu mencetuskan satu misi sebagai lpeluang untuk membawa suara wanita Palestin ke peringkat global. Nadeen yang berusia 27 tahun bukan sahaja memiliki wajah jelita, malah terkenal dengan ketokohan dan keprihatinannya terhadap isu-isu sejagat.
Dilahirkan dalam keluarga berdarah Palestin dan dibesarkan di Kanada, Nadeen fasih dalam budaya Timur Tengah dan Barat. Perpaduan dua budaya ini memberi kelebihan besar untuk berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa di pentas Miss Universe.
Dalam temu bual bersama The National, Nadeen menyatakan beliau amat berbangga dapat melangkah ke hadapan pada saat dunia memberi perhatian terhadap Palestin.
“Saya berasa bangga melangkah ke hadapan pada waktu ini, apabila kita semua perlu menjadi suara untuk Palestin,” katanya. Beliau turut menegaskan keinginannya untuk membantu rakyatnya, terutamanya di Gaza yang menderita setiap hari.
Penyertaan Palestin dalam Miss Universe 2025 dilihat sebagai satu langkah berani kerana ia bukan sekadar pertandingan kecantikan, malah medan diplomasi budaya. Ia membolehkan Nadeen mengetengahkan naratif Palestin kepada dunia, di luar kerangka politik semata-mata.
Keputusannya untuk menyertai Miss Universe berpunca daripada misinya untuk memanusiakan rakyat Palestin dan mencabar stereotaip global.
“Saya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa wanita Palestin bukan sahaja tabah dan cantik, tetapi juga pemimpin, inovator dan pembuat perubahan,” kongsinya. Merupakan seorang jurulatih kesihatan dan pemakanan bertauliah dengan ijazah dalam sastera dan psikologi, Nadeen dibesarkan di antara Palestin, AS dan Kanada.
Beliau juga dikenali sebagai seorang yang komited dalam memperjuangkan isu kemanusiaan. Beliau aktif dalam pelbagai program kebajikan, termasuk bantuan kepada pelarian dan inisiatif pendidikan untuk kanak-kanak di kawasan bergolak.
Busana yang digayakan Nadeen ketika pengumuman pelantikannya turut mencuri perhatian, gaun tradisional Palestin bertatah tatreez hasil rekaan pereka terkenal, Hiba Abdelkarim.
Platform Miss Universe dijangka menjadi medium yang lebih luas untuk Nadeen menyebarkan mesej kemanusiaan dan alam sekitar yang menjadi fokus perjuangannya. Penyertaan beliau bukan sahaja membawa nama Palestin ke pentas antarabangsa, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berani tampil dan bersuara.
Sebelum pelantikan ini, Nadeen pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Miss Earth 2022 sekaligus diumumkan sebagai Miss Earth Water 2022.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan