Categories: Hiburan

Nabila Huda Selesa Pilih Gandingan Berpengalaman, Belum Sedia Jadi Guru Lakon

Share

Pelakon Nabila Huda mengakui dirinya agak selektif bukan sahaja dalam pemilihan naskhah, tetapi juga dari segi gandingan pelakon setiap kali mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan.

Menurut Nabila, dia lebih senang untuk bekerjasama dengan pelakon berpengalaman yang memahami peranan masing-masing ketika di set penggambaran.

“Kebiasaannya, skrip dan tawaran yang saya pilih adalah dengan barisan-barisan pelakon yang saya sudah biasa dan selesa bekerja. Kebanyakan skrip yang saya pilih adalah berat.

“Mungkin pelakon-pelakon baharu ini mereka tidak terpilih untuk skrip tersebut. Saya memang agak memilih siapa gandingan pelakon saya,” katanya kepada MH.

Anak kepada legenda rock, Amy Search ini ditemui ketika majlis sidang media pelancaran platform pencarian bakat, Social Celeb, baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga tidak senang jika ada segelintir pelakon yang menjadikan set penggambaran sebagai ruang untuk belajar dan bukannya fokus terhadap peranan.

“Saya juga seorang ibu. Saya perlu pulang awal untuk luang masa bersama keluarga. Saya tak nak buang masa di set dan perlu menyaksikan akademi lakonan.

“Perkara ini boleh buat saya marah dan nampak tua. Pada saat ini, tiada apa untuk saya kejarkan lagi. Saya gembira dengan hidup saya,” ujarnya lagi.

Belum Sedia Jadi Guru Lakon

Dalam perkembangan lain, Nabila menjelaskan dirinya belum bersedia untuk membuka kelas lakonan kerana merasakan masih belum layak bergelar guru.

“Ramai yang minta saya untuk buat kelas lakonan. Namun, saya merasakan diri saya belum layak untuk menjadi guru dan mengajar. Saya pun masih belajar.

“Saya pun terkapai-kapai nak hidup seperti orang biasa terutama untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

“Nak jadi isteri dan ibu sepenuh masa pun agak susah untuk saya bahagikan masa. Jadi, bila nak mengajar orang pula, saya rasa itu agak payah.

“Namun, kalau rakan-rakan pelakon minta pendapat ketika di set, saya memang tak kisah untuk beri pandangan,” akhirinya.

Sementara itu, Nabila menjadi antara selebriti berpengalaman yang dipilih sebagai Star Mentors bagi program Social Celeb.

Program tersebut dirangka sebagai jambatan antara bakat baharu dan industri hiburan profesional, dengan menyediakan akses kepada latihan intensif serta peluang uji bakat secara langsung.

Peserta akan diberi peluang mengikuti bengkel eksklusif, sesi persembahan langsung serta uji bakat untuk projek filem, drama bersiri dan kandungan OTT.

Di peringkat akhir, 100 peserta terbaik akan dipilih menyertai produksi sebenar sekali gus memberikan pengalaman yang bukan sekadar latihan, tetapi juga titik mula kerjaya profesional.

Selain Nabila, antara nama besar lain yang turut dipilih sebagai Star Mentors ialah Nabil Ahmad, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Aaron Aziz.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf