
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad berpendapat, tidak kira sejauh mana anak sulungnya Nayla Mikayla atau Mika melangkah dalam dunia seni, pelajaran tetap perlu menjadi keutamaan utama dalam hidup.
Muncul menerusi The Chosen One musim ketiga sebagai ‘support sister’ bagi para peserta yang bertanding, Nabil bagaimanapun akui pendedahan anaknya itu dalam dunia seni hanyalah sebagai untuk menambah keyakinan diri.
“Apa punm pelajaran tetap nombor satu. Macam mana penat sekalipun bersiaran langsung pada Ahad, keesokan harinya tetap kena pergi sekolah macam biasa.
“Saya tak mahu Mika abaikan pelajaran. Platform ini hanyalah sementara saja untuk bantu Mika supaya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan berani.
“Saya tak ada pelajaran dan sijil, saya cuma ada kerja ini saja. Jadi saya tak nak dia jadi macam saya.
“Saya nak tengok Mika masuk universiti dan nak dia belajar misalnya untuk jadi doktor ataupun jurutera. Industri seni pula hanyalah platform untuk dia belajar mengenai kehidupan,” katanya.
Meski tidak menghalang Mika untuk menceburi bidang seni selepas ini, Nabil tetap berharap agar anaknya itu memiliki segulung ijazah demi masa depan.
Bagi Nabil, pengalaman bekerja awal sebagai untuk mendidik Mika menghargai nilai wang dan usaha.
“Walaupun bayaran mungkin tak tinggi, tapi yang penting saya nak dia rasai sendiri pengalaman dan dapat gambaran macam mana susah payah saya mencari duit.
“Saya nak bila dia melangkah ke dunia pekerjaan kelak, dia dah ada pengalaman itu. Jadi Insya-Allah banyak lagi cabang yang boleh dia terokai selepas ini,” ujarnya lagi.
Meskipun bergelar selebriti terkenal, Nabil menolak tanggapan pemilihan Mika sebagai
support sister dalam rancangan realiti itu adalah disebebkan oleh pengaruhnya.“Saya bersyukur Mika dipilih, bukan senang nak dapat peluang untuk menjejakkan kaki dalam industri.
“Kadang-kadang saya simpati juga melihat anak orang lain buat macam-macam untuk rebut peluang masuk ke dalam industri. Usaha yang mereka letakkan memang dahsyat.
“Jadi bila Mika dapat peluang ini, saya bersyukur. Tapi dia tetap kena pergi uji bakat, proses dia sama saja macam orang lain dan kena masuk kelas bersama Datuk Aznil Nawawi,” katanya.
Sebagai bapa, Nabil turut melahirkan rasa bangga apabila melihat Mika berjaya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik.
Apatah lagi, bidang pengacaraan sememangnya menjadi minat yang sudah lama ditunjukkan oleh anak gadisnya itu.
Untuk rekod, Nabil mendirikan rumah tangga bersama Nazirah Ayub pada 30 September 2011.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nayla Mikayla, 13; Layla Medyna, 10; dan Mishall Imani, kini berusia 6 tahun.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini