
Anggota kumpulan lawak Zero, Atu mengakui rasa terkilan apabila abangnya, Sharif didakwa pulang lebih awal dan tidak menunggu sehingga majlis sidang media selesai ketika acara tayangan perdana filem Duyung: Lagenda Aurora yang berlangsung, malam tadi.
Menurut Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, meskipun hubungan mereka masih belum pulih, Sharif sepatutnya bersikap profesional, lebih-lebih lagi dalam hal melibatkan urusan kerja.
“Hubungan kami nampaknya masih lagi bermasalah. Anda juga boleh lihat sendiri hanya saya dan Syaiful sahaja yang kekal sehingga majlis sidang media ini berakhir.
“Kita boleh nampak ada pihak yang cuba mengelak. Saya memilih untuk kekal kerana dalam pekerjaan, kita harus profesional.
“Bila di luar, kalau nak bergaduh, itu terpulanglah kepada masing-masing. Ketika bekerja, kita kena buang semua perasaan itu. Mungkin dia nampak saya, terus nak menghilang.
“Saya harap untuk promosi selepas ini, dia akan ada. Dalam filem ini, watak kami sangat rapat. Kita kena raikan peminat yang menyokong dan mahu melihat kami bersama,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, Atu mengakui dia tidak menyangka kumpulan tersebut bakal melalui fasa seperti ini meskipun selepas hampir 12 tahun bersama membina nama dalam industri.
“Tipulah kalau tak rasa sayang. Lagipun kita sudah berada di dalam industri ini sejak 12 tahun yang lalu. Kita sudah sama-sama merasa pahit manis perjalanan itu.
“Namun, kalau hanya disebabkan satu isu yang timbul dan dia boleh melupakan segalanya, itu terpulang kepada dia.
“Saya tetap mahu meneruskan kerjaya dalam bidang ini kerana ia merupakan pekerjaan dan sebahagian daripada punca rezeki saya. Saya tetap kena teruskan,” kongsinya lagi.
Tambah Atu, sebagai adik bongsu, dia bersedia untuk menurunkan ego demi menjaga keharmonian dan kebaikan semua pihak.
“Ahli keluarga juga banyak berikan nasihat untuk tidak bergaduh terlalu lama kerana ia akan beri kesan buruk kepada nama keluarga. Namun, ahli keluarga tahu saya dan pihak di sana bagaimana.
“Sebagai adik saya sedia turunkan ego untuk kebaikkan semua pihak. Saya ada usaha untuk berbaik. Bukan setakat berdoa, malah saya juga cari peluang untuk berhubung.
“Saya pernah hubunginya kerana ada tawaran untuk kumpulan Zero tapi dia hanya diam seribu bahasa. Jika anda boleh lihat, dia juga sudah tidak mengikuti saya lagi di platform Instagram dan Tik Tok,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Atu turut mendedahkan persengketaan yang berlaku antara mereka berpunca daripada pelbagai faktor.
“Rasanya tiada apa untuk diperkatakan lagi. Kita tahu siapa yang salah dan memulakan. Minta maaf sahajalah. Mungkin ia akan menjernihkan suasana tapi tidak seperti dahulu lagi.
“Saya akui masalah ini juga timbul disebabkan isu duit. Namun, kalau kita selami lagi, sebenarnya ada banyak lagi masalah-masalah lain.
“Saya hanya mahukan permohonan maaf sahaja bukan sahaja kepada saya tetapi juga keluarga,” akhirinya.
Sebelum ini, Atu mendedahkan dia dan Sharif sudah hampir dua tahun tidak bertegur sapa.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.