Berita

“Mungkin Ada Orang Yang Banyak Masa Untuk ‘Freeze Frame’, Namun…,” – Aliff Aziz Jelaskan Isu Wajah Bella Astillah Ditutup Pada Foto Keluarga

Share

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz tampil memberikan penjelasan berhubung isu tular yang mendakwa wajah bekas isteri, Bella Astillah sengaja ditutup di dalam potret keluarga di kediaman mereka di Singapura.

Menurut Aliff, hal berkaitan hiasan dalaman rumah ibu bapanya adalah hak peribadi mereka dan dia tidak berhak untuk mencampuri urusan tersebut.

“Saya rasa isu itu tak sesuai untuk saya kongsikan kerana itu adalah rumah ibu dan bapa saya. Terpulanglah kepada umi dan ayah untuk meletakkan apa sahaja hiasan di rumah mereka.

“Malah, terpulang juga kepada orang ramai untuk membuat apa sahaja andaian dan sebagainya. Yang pasti, umi saya bukan sengaja.

“Ketika itu, umi saya sedang buat review makanan. Mungkin ada orang yang punyai banyak masa untuk ‘freeze frame’. Namun, saya tak boleh nak komen banyak tentang apa yang ada di dalam rumah mereka,” katanya kepada MH.

Aliff berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran platform penstriman iQIYI di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tambahnya lagi, setiap individu berhak untuk mempunyai persepsi tersendiri terhadap apa jua perkara, termasuk isu yang melibatkan keluarganya.

“Pada saya, semua orang pasti punyai persepsi sendiri terhadap apa sahaja perkara yang orang lain lakukan. Kalau cakap sebegini, orang akan kata kita tunggang agama.

“Jika saya mahu bangkit semula dalam hidup tapi terpaksa mengikut apa kata orang ramai, mungkin saya akan kekal di tahap itu sahaja,” katanya lagi.

Fokus Perbaiki Diri & Perkembangan Kerjaya Terkini

Dalam pada itu, Aliff memilih untuk tidak memanjangkan isu berkenaan dan mahu memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Pada saya, cukup-cukuplah. Dalam hidup ini, saya sudah melakukan pelbagai perkara bodoh. Mungkin ada di antara kalian yang sudah mengenali saya sejak usia remaja lagi.

“Ada banyak perkara yang perlu saya fokus dan perbaiki. Selain daripada itu, tiada apa yang perlu saya komen sangat,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Aliff meluahkan keterujaan apabila bakal muncul menerusi drama terbaharu berjudul Racun Dan Madu.

Selain itu, dia juga kini aktif menerima jemputan nyanyian di majlis perkahwinan.

“Kehidupan saya sekarang baik sahaja, alhamdulillah. Saya kini sedang giat untuk mempromosikan drama terbaharu saya berjudul Madu Dan Racun yang akan ditayangkan pada Jun depan.

“Saya juga kini aktif menyanyi di majlis-majlis perkahwinan. Terima kasih kepada mereka yang mempercayai bakat saya.

“Salagi ada rezeki, saya akan terus bergiat aktif dalam dunia seni. Saya percaya semua orang sudah ditentukan rezeki mereka.

“Untuk saya terlalu memikirkan sangat tentang tawaran kerja seterusnya, pada saya, kalau ada rezeki untuk saya, alhamdulillah.

Kalau tiada, itu bererti ada rezeki lebih baik buat saya. Itulah cara pemikiran saya sekarang,” akhirinya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang mendakwa keluarga Aliff sengaja menutup wajah Bella dalam foto keluarga yang digantung di dinding rumah mereka.

Untuk rekod, Aliff dan Bella pernah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Mereka bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua pada Mac 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf