Categories: Berita Hiburan

“Mestilah Saya Sebagai Adik, Nak Kakak Kita Gembira. Mahukan Yang Terbaik Untuk Dia,” – Neelofa

Share

Sebagai seorang adik, sudah tentu keinginan utama adalah melihat kakak tersayang hidup bahagia, termasuk dalam soal perhubungan.

Itulah yang dizahirkan pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa apabila berbicara mengenai kakaknya, Noor Nabila yang sedang menjalin hubungan bersama lelaki pilihannya, ketika ini.

Neelofa juga mendoakan agar kakaknya itu dikurniakan kebahagiaan serta dipermudahkan urusan.

“Mestilah saya sebagai adik semestinya kita nak kakak kita gembira, kita nak yang terbaik untuk dia.

“Kita nak perkahwinan, rumah tangga dia itu diberkati, berkekalan dan yang baik-baik sahaja,” katanya, lapor Gempak.

Harapan Agar Hubungan Baharu Lebih Bermakna

Dalam pada itu, Neelofa turut berharap agar Noor Nabila dapat melalui hubungan baharu yang sedang dibina dengan sebaiknya, berbekalkan pengalaman lalu yang penuh pengajaran.

“Saya pun tak tahu dia share ni, saya tak tahu tau. Kita sama-sama doakanlah ya, sebab dia pun dah lalui macam-macam.

“Dan semoga apa-apa yang dah dia pelajari itu, boleh digunakan dalam perkenalan kali ini. Semoga doa-doa kalian semua bawa kebaikan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, satu hantaran di media sosial yang dimuat naik oleh Noor Nabila baru-baru ini, menjadi sorotan warganet apabila dia berkongsi foto bersama seorang lelaki yang ditutup dengan ‘emoji’ pada wajahnya.

Gambar tersebut turut memperlihatkan lelaki berkenaan merangkul pinggang Nabila, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Hubungan Serius, Tapi Tidak Terburu-buru

Memetik laporan sebuah portal hiburan, Nabila atau nama sebenarnya Noor Nabila Mohd Noor, 41, menjelaskan hubungan bersama lelaki dikenali sebagai Mr AA itu adalah serius dan matang.

Bagaimanapun, dia menegaskan mereka masih berada dalam fasa saling mengenali dan tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan besar.

Untuk rekod, Noor Nabila sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga kali pertama pada Julai 2013, namun perkahwinan tersebut berakhir setahun kemudian.

Dia kemudiannya bertemu jodoh dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada Mac 2017 sebelum berpisah pada Julai 2020.

Nabila seterusnya bernikah dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada Mac 2021, namun perkahwinan itu juga tidak bertahan lama.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH