
Selepas terpalit kontroversi putus tunang, pelakon Saidah Kamarudin memilih untuk tidak ambil pusing terhadap sindiran dan spekulasi, termasuk daripada kalangan rakan artis sendiri sekiranya ada.
Menurut Saidah atau nama sebenarnya Nur Saidah Syahirah Kamarudin, dia memahami jika ada pihak membuat pelbagai andaian kerana mereka tidak mengetahui kisah sebenar.
“Saya tak boleh nak cakap apa-apa kerana pada saya, mereka tidak tahu perkara sebenar. Kebanyakan mereka hanya tahu secara dasar sahaja.
“Jika saya berada di kasut mereka, mungkin saya juga buat hal yang sama. Biarlah mereka nak kata apapun. Saya tidak terasa hati,” katanya kepada MH.
Bintang Dewi Remaja 2019 ini ditemui ketika menghadiri acara Malaysia Bridal Fashion Week, baru-baru ini.
Bila ditanya sama ada dia pernah menerima layanan berbeza ketika bertemu dengan rakan selebriti selepas apa yang berlaku, Saidah tetap berlapang dada dan mahu bersikap profesional.
“Pada saya, industri ini kecil sahaja. Lambat laun kita akan bertemu juga. Saya hanya buat seperti biasa sahaja bila bertemu rakan-rakan artis di luar,” ujarnya.
Biarpun kisahnya mencuri perhatian ramai, Saidah akui dia tidak selesa dikenali hanya kerana kontroversi.
Namun, dia tidak menolak sekiranya insiden itu membuatkan namanya lebih dikenali.
“Mungkin ada betulnya juga tapi saya tidak mahu dikenali kerana kontroversi. Namun, nak buat macam mana?
“Hal ini pun sudah terjadi. Saya hanya mahu kekal positif sahaja buat masa ini,” katanya yang belum bersedia untuk mencari pengganti dalam masa terdekat.
“Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati dalam mencari pasangan. Buat masa sekarang, bukan masanya untuk saya mencari pengganti.
“Jika anda boleh lihat keadaan saya ketika ini, memang saya agak trauma. Saya cuba lawan perasaan itu.
“Saya tidak akan tengok dan baca hal-hal negatif. Saya hanya mahu teruskan kehidupan seperti biasa.
Mengulas mengenai kontroversi yang berlaku ini, Saidah menjelaskan dia sudah menyerahkan hal ini kepada pihak peguam.
“Saya sudah tidak mahu bercakap hal ini lagi kerana saya sudah move on. Saya sudah melantik peguam sekiranya hal ini dipanjangkan lagi.
“Saya lantik peguam untuk pertahankan diri. Malah, saya juga ada keluarga. Bukan dia seorang sahaja. Jadi, saya tetap nak bersihkan nama saya,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini