Categories: Berita Fesyen

“Mereka Sepatutnya Lihat Saya Menang Dalam Keadaan Cantik,” – Mohon Maaf Kepada Peminat, Detik Tak Terjangka Ernie Zakri Di ABP37

Share

Memutuskan untuk pulang sebelum program tamat, penyanyi Ernie Zakri mengakui langsung tidak menjangkakan dirinya bakal memenangi Anugerah Bintang Paling Popular 2025 (ABP37).

Menurut Ernie, selepas menerima anugerah Penyanyi Wanita Popular malam tadi, dia sebenarnya sudah memohon izin untuk pulang bagi menghadiri sesi makan malam bersama suami dan anak.

“Sejujurnya saya memang tak sangka dengan kemenangan pada malam ini. Ini bukan reaksi ‘cliche’ tapi memang itu yang saya rasakan.

“Selepas menang Anugerah Penyanyi Wanita Popular, saya bertanya kepada pihak penganjur, boleh ke saya pulang? Reaksi mereka seperti berbelah bahagi.

“Mereka nak saya kekal di program ini dan kalau nak pulang juga mereka faham. Suami dan anak-anak sudah menunggu di rumah. Saya putuskan untuk pulang,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Nostalgia itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media ABP37 di Premiera Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Raih Undian 124 Juta

Dalam masa sama, Ernie turut memohon maaf kepada para peminat yang sepatutnya melihatnya meraih anugerah utama itu dalam keadaan serba cantik dan bersiap.

“Saya tukar baju di hotel lain. Kemudian saya dapat panggilan daripada penganjur yang bertanyakan kenapa saya pulang? Saya pun agak terkejut dengan panggilan itu.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk datang kembali ke program ini. Saya bagitahu penganjur yang saya sudah tukar baju. Bila nak kembali ke dewan, jalan pula sesak. Saya putuskan untuk keluar dari kereta dan berlari.

“Sebab itu saya nampak mengah. Saya agak penat. Ini kemanangan buat peminat saya. Mereka sepatutnya melihat saya menerima anugerah ini dalam keadaan cantik. Saya minta maaf kerana langsung tak sangka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, isteri kepada penyanyi Syamel ini akui terkejut apabila mengetahui jumlah undian melebihi 124 juta yang diraihnya untuk bergelar artis paling popular tahun ini.

“Bila saya mendengar jumlah undian itu, saya jadi tak terkata. Sesak nafas sebab penat bertambah dua kali ganda. Dalam fikiran saya, kita tak boleh pandang rendah kuasa peminat.

“Bila mereka terlalu sayang kita, inilah hadiah yang saya terima. Ini anugerah mereka. Mereka yang bersusah payah setiap tahun dan tanpa lelah percayakan saya.

“Ada kalanya kita rasa putus asa dan anggap tahun ini seperti tiada rezeki namun, mereka sentiasa beri semangat dan tetap mahu mencuba nasib. Banyak perkara saya belajar daripada peminat antaranya tentang kekuatan,” katanya lagi.

Jelas Ernie, menggenggam trofi di acara ABP memang menjadi antara impiannya sejak mula menceburkan diri dalam bidang seni.

“Di Malaysia ini ada pelbagai anugerah yang dibuat khas untuk anak seni. Antara trofi paling ikonik adalah Anugerah Bintang Paling Popular.

“Bila saya masuk ke industri dan punyai kumpulan peminat yang sangat kuat, sudah pasti trofi ini termasuk dalam senarai anugerah yang saya idamkan.

“Jadi, saya memang memasang impian untuk mengecapinya satu hari nanti. Saya hanya berharap untuk menang anugerah penyanyi popular sahaja. Tak sangka pula jadi Bintang Paling Popular,” akhirinya.

Dinobatkan selaku pemenang Bintang Paling Popular (ABP37), Ernie membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf