
Kumpulan rock legenda tanah air, Wings tampil memperkenalkan dua anggota baharu iaitu Pae sebagai pemain dram dan Am sebagai pemain bes, sekali gus meneruskan perjuangan empayar muzik mereka yang kini sudah menjangkau usia 40 tahun.
Menurut vokalisnya, Datuk Awie, kemasukan anggota baharu ini secara tidak langsung menandakan permulaan era baharu buat Wings dengan suntikan suasana muzik yang lebih segar.
“Ini adalah satu semangat baharu yang kita bawa bersama ahli-ahli baharu untuk meneruskan perjuangan Wings yang sudah 40 tahun.
“Wings ini merupakan sebuah jenama kukuh di dalam industri seni. Kami sudah berjalan selama 40 tahun. Rugi kalau kita patahkan terus sayap itu.
“Kini sayap pun sudah berganti dan kita bersyukur kerana dianggotai oleh pemuzik-pemuzik yang disegani.
“Konsert Orang Kita bakal menjadi titik permulaan untuk kami menggambarkan era baharu Wings,” katanya kepada MH.
Wings ditemui pada majlis sidang media Konsert Orang Kita di Restoran Padi House, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Konsert Orang Kita dijadualkan berlangsung di Zepp KL, Kuala Lumpur pada 30 Januari ini.
Dalam masa sama, Awie menzahirkan rasa syukur atas kehadiran Am dan Pae serta menyifatkan kebolehan mereka sebagai pemuzik sememangnya tidak perlu dipertikaikan.
“Kenapa kami memilih Am dan Pae, mereka ini memang sudah dikenali di dalam industri seni tanah air. Pae Sembah Bumi sudah menjadi pemain drum iringan untuk banyak band rock tempatan seperti Search, XPDC, Amuk dan Dragon Malaya.
“Begitu juga dengan Am. Dia aktif bermain muzik di kelab malam. Kebolehan yang ada pada mereka membawa mereka masuk ke Wings.
“Saya, Edry dan Sham mahu berterima kasih Pae dan Am yang datang dan membentuk kembali sayap kiri kita yang sudah patah,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Pae atau nama sebenarnya Mohamad Nasfa Mohamed Nasir mengakui dia lebih selesa menjadi dirinya sendiri dan tidak mahu dibayangi oleh pemain dram Wings terdahulu iaitu Jojet dan Black.
“Bila kali pertama menyertai kumpulan Wings, saya rasa memang agak mencabar walaupun saya sudah lama bersama Awie dan bermain muzik yang lebih berat bersama Dragon Malaya.
“Kini saya perlu seimbangkan dengan gaya permainan Wings sewaktu bersama Jojet dan Black dengan gaya permainan saya sendiri. Saya juga perlu memahami repertoire mereka.
“Dalam masa terdekat saya akan usaha lagi untuk mencari keserasian bersama mereka. Apapun, saya tidak akan jadi Black atau Jojet. Saya akan jadi diri sendiri tapi tidak akan terkeluar daripada landasan Wings itu sendiri,” katanya.
Am atau Ilham Ishak pula memaklumkan dirinya juga berdepan cabaran tersendiri, namun bertekad untuk memberikan yang terbaik buat kumpulan tersebut.
“Bila pertama kali menyertai mereka, saya rasa agak mencabar. Saya memang jarang bermain lagu-lagu sewaktu di awal album mereka.
“Jadi, ia agak susah bagi saya tapi saya akan sentiasa berusaha untuk buat yang terbaik,” katanya.
Awie turut mengumumkan pemain gitar utama Wings, Edry kini dilantik sebagai pengarah muzik baharu kumpulan itu yang akan bertanggungjawab menentukan selera muzik untuk album dan konsert akan datang.
Terdahulu, pada Oktober tahun lalu, peminat dikejutkan dengan pengumuman pengunduran dua anggota asal Wings iaitu pemain dram, Black dan pemain bes, Eddie daripada kumpulan tersebut.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.