Categories: Berita Hiburan

Menjelang Magrib 2… Kisah Seram Remaja Perempuan Yang Dipasung Hidup Semula!

Share

Dalam sunyi senja, angin yang menghembus seakan membawa bisikan dari masa lampau. Rumah-rumah kayu yang uzur berdiri memerhati, seolah menyimpan rahsia gelap yang enggan dibongkar!

Di tengah bayang-bayang pohon yang menjulang, suara rantai menyeret tanah turut kedengaran, seolah-olah memberi amaran, ada jiwa yang tidak pernah benar-benar bebas.

Dari kisah inilah, tercetus sebuah karya seram yang menjanjikan rasa ngeri yang mencengkam hingga ke tulang.

Inspirasi Dari Trauma Zaman Kanak-Kanak

Pengalaman zaman kanak-kanak memberi ilham kepada penerbit, Helfi Kardit, untuk menghasilkan filem seram Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai.

Menurut Helfi, memori pada usianya yang masih belasan tahun pada ketika itu masih segar dalam ingatan apabila seorang rakannya dipasung kerana dipercayai mengalami masalah mental.

Pengalaman tersebut mendorongnya untuk mengangkat tema pasung dalam filem terbaharu ini, bagi memberi pemahaman kepada penonton mengenai kepercayaan segelintir masyarakat terdahulu dalam menangani penyakit mental yang dianggap berkaitan hal mistik.

“Ketika itu umur saya 15 tahun, ada kawan saya dipasung kerana dianggap mempunyai masalah mental.

“Pada waktu itu banyak rawatan sedemikian malah saya percaya, ia masih ada sekarang ini di beberapa kawasan tertentu.

“Alasannya mudah saja, iaitu mereka terpaksa dipasung agar tidak mengganggu orang lain. Tapi wujud juga kepercayaan mistik, bahawa tubuh perlu dikembalikan pada tanah dan jiwa perlu menyatu dengan alam.

“Ini hanyalah kepercayaan. Dari sisi kemanusiaan memang nampak tidak berperikemanusiaan, tapi sisi mistiknya mungkin ada benar kerana tubuh dan jiwa adalah milik alam, tetapi dengan ilmu,” katanya.

Majlis Tayangan Perdana Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai telah diadakan di TGV One Utama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, naskhah ini tidak hanya menyeramkan, malah turut menonjolkan elemen budaya, unsur mistik dan tahayul yang bertentangan dengan pengetahuan moden sains, selain perkara mistik.

Helfi menambah, latar filem juga adalah sekitar tahun 1920, ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda atau dikenali sebagai Hindia Belanda.

Sepanjang penggambaran di Gunung Papandayan, Jawa Barat, kru produksi turut mengalami kejadian seram dan pelik sehingga terpaksa menukar lokasi penggambaran.

“Seorang kru sedang mengemas peralatan dan ketika itu ada sungai berhampiran. Bukan sungai besar, tapi kecil. Dia ternampak kepala dan menjerit.

“Akhirnya kami sepakat pindah lokasi. Nasib baik ketika itu penggambaran hanya tinggal di dalam rumah kayu sahaja,” jelasnya lagi.

Pertembungan Dua Dunia

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai mengisahkan seorang doktor muda lulusan Universiti Stovia, Giandra, yang terbaca kisah seorang gadis di Desa Karuhun yang dipasung.

Rawatan dilakukan secara mistik oleh seorang dukun jelas bertentangan dengan prinsip Giandra sebagai seorang doktor moden.

Setibanya di kampung itu, pelbagai fenomena mistik mula terungkai, terutama berkaitan susur galur hidup gadis yang dipasung,

Layla.

Filem terbitan Helroad Films ini telah menemui penonton di Malaysia bermula 20 November, selepas ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes.

Malah sebelum ini, Menjelang Maghrib yang ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu, turut mendapat sambutan hangat daripada penggemar filem seram dengan kutipan hampir mencecah RM2 juta.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH