Categories: Berita Hiburan

“Memang Tinggalkan Datuk Red Di Tepi Jalan Tapi Bersebab, Tak Boleh Dikongsikan Kepada Umum,” – Adira Suhaimi

Share

Penyanyi Adira Suhaimi tampil memberikan reaksinya berhubung pendedahan daripada bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red yang mendakwa dia pernah ditinggalkan di tepi jalan dan perlu pulang ke rumah sendirian, sebelum ini.

Menurut Adira, insiden tersebut memang benar berlaku dan dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dirinya bertindak sedemikian.

“Saya mengaku memang ada tinggalkan dia di tepi jalan tapi bukan pada waktu tengah malam. Malah, lokasinya juga berhampiran dengan stesen minyak.

“Saya buat begitu kerana ada sebab-sebab tertentu yang tak boleh dikongsikan kepada umum.

“Mungkin apa yang bekas suami saya kongsikan itu hanyalah kisah daripada pihaknya sahaja dan dia tidak bercerita punca dan mengapa insiden itu berlaku,” katanya kepada MH.

Adira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Gelas Memori di Royal Chulan Hotel, Damansara pada Jumaat.

Gelas Memori merupakan projek duet terbaharu Adira bersama penyanyi rap, Fiq7.

Adira bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Saya rasa tak semua orang perlu tahu apa yang terjadi di antara kami. Biarlah saya dan bekas suami sahaja tahu.

“Saya tak nak mengeruhkan lagi keadaan. Sebolehnya saya mahu saya dan bekas suami jalani kehidupan yang tenang.

“Saya percaya, Datuk Red mungkin terlepas cakap kerana ketika itu, dia berada dalam keadaan yang tidak menggunakan akal dan bercakap dalam keadaan emosi.

“Sekiranya saya juga mahu berbalas kenyataan, saya takut apa yang saya perkatakan nanti akan menjadikan keadaan lebih teruk,” ujarnya.

Adira menambah, dia memilih untuk berdiam demi menjaga hati banyak pihak terutamanya anak-anak.

“Lebih baik saya buat tak tahu sahaja. Saya dan bekas suami kini sudah pun membawa haluan masing-masing. Kami sudah ada kehidupan sendiri.

“Kalau saling nak berbalas kenyataan, pusing-pusing nanti pun saya akan tetap jumpa muka dia juga. Saya tak nak buat keadaan jadi kekok.

“Saya masih boleh hadap apa yang berlaku. Kalau netizen nak kecam atau boikot, saya tak kisah. Anda hanya dengar daripada sebelah pihak.

“Seperti semua tahu, saya ini jarang bersuara atau membela diri. Selalunya, saya hanya akan biarkan sahaja dan dengan harapan esok lusa ia akan berkahir,” kongsinya lagi.

Pendirian Adira

Sementara itu, Adira turut menegaskan keadaan tidak akan berubah walaupun dia mendedahkan tentang kebenaran.

“Kalau orang sudah percaya sesuatu hal, dia tak akan nak dengar lagi hal-hal lain. Kalau saya cerita tentang kebenaran sekali pun, ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Ia hanya akan memanaskan lagi keadaan. Saya tak perlu nak buktikan kepada sesiapa. Keadaan tidak akan berubah. Saya tetap kena bekerja dan cari rezeki buat anak-anak.

“Bukanlah saya boleh terus jadi senang. Jadi, saya lebih memilih untuk menjaga emosi anak-anak,” akhirinya.

Sebelum ini, menerusi perkongsian di TikTok Live, Datuk Red mendakwa Adira pernah meninggalkannya di tepi jalan sehingga dia terpaksa pulang sendirian.

Berikutan pendedahan tersebut, netizen membuat pelbagai spekulasi dan ada yang menyifatkan tindakan Adira tersebut agak keterlaluan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf