
Penyanyi Baby Shima, tampil menjawab kontroversi membabitkan lirik lagu Masuk Lagi yang didakwa berunsur lucah, awal bulan lalu.
Mengambil masa untuk memberikan penjelasan, Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli menegaskan dia tidak melarikan diri daripada isu berkenaan.
Sebaliknya, dia memilih untuk berdiam diri terlebih dahulu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
“Kalau bersuara ketika isu tengah panas, orang akan bertambah tak suka. Jadi saya memilih untuk beri keadaan reda dulu.
“Lagipun ketika itu dah hampir memasuki bulan Ramadan, jadi saya tak nak keruhkan lagi keadaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santai Ramadan di Hotel Tenera Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Mengulas dakwaan kononnya lagu berkenaan mempunyai maksud tersirat, Shima menegaskan bahawa Masuk Lagitidak mengandungi unsur ‘double meaning’ seperti yang didakwa segelintir pihak.
Menurutnya, lagu tersebut sebenarnya mengisahkan perjalanan seorang lelaki bersama rombongan untuk masuk meminang.
“Lirik lagu Masuk Lagi sebenarnya menceritakan perjalanan seseorang menuju ke rumah seseorang untuk masuk meminang.
“Liriknya berbunyi, ‘masuk jalan elok-elok sayang, sudah lama dinda seorang, rombonganmu ingin masuk meminang’.
“Itu yang kami nak tekankan dalam lagu itu, iaitu mengenai perjalanan untuk masuk meminang. Tak ada apa pun sebenarnya,” katanya lagi.
Shima turut menjelaskan, kekeliruan tidak akan timbul sekiranya orang ramai menonton muzik video lagu tersebut yang jelas memaparkan babak rombongan meminang.
“Memang tak ada unsur ‘double meaning’ sebab maksud lagu itu jelas dalam muzik video.
“Jadi mereka yang nak fahamkan lagu itu memang kena tonton muzik video terlebih dulu untuk lebih faham,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shima menegaskan kontroversi yang tercetus tidak menghalangnya untuk terus berkarya.
Bagaimanapun, dia akan lebih berhati-hati dalam pemilihan lirik selepas ini bagi mengelakkan salah faham berulang.
“Pemilihan lagu macam biasa, mana yang okey saya akan teruskan rakaman. Tahun ini kita akan hasilkan banyak lagi lagu.
“Tapi kita bagi lagu yang ‘direct’ supaya senang untuk orang faham, sebab ada sesetengah orang mungkin tak faham lirik lagu sebab lambat ‘pick up’.
“Jadi 2026 ini kita bagi lirik lagu yang jelas, yang orang boleh faham terus,” katanya lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.