Categories: Hiburan

Melly Goeslaw Menitis Air Mata Sebab Misha, Idola Sejak Lagu ‘Pulangkan’ – “Tak Ramai Penyanyi Yang Boleh Menghayati Sesebuah Lagu…”

Share

Dalam suasana penuh emosi ketika membuat persembahan, penyanyi tersohor Misha Omar tidak menyangka akan bertentang mata dengan figura muzik ikonik dari Seberang, Melly Goeslaw, yang hadir pada majlis pelancaran single terbarunya, Break, hari ini.

Menurut Misha, atau nama penuhnya Samihah Aisah Omar, inilah kali pertama mereka bersua secara empat mata dan momen itu disifatkannya sebagai sangat bermakna.

“Sebenarnya saya sangat terharu apabila suara saya didengari oleh orang yang bukan calang-calang dari negara seberang. Ia merupakan satu apresiasi.

“Pada mulanya saya nampak satu susuk tubuh seperti Melly tetapi saya perlu menumpukan kepada nyanyian kerana guru saya, Datuk Syafinas berada di hadapan.

“Kemudian Alhamdulillah dia pun nyanyi bersama-sama dan saya sangat gembira,” katanya.

Misha berkongsi rasa teruja itu ketika ditemui pada sidang media single Break di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Lebih menyentuh hati, Melly turut meluahkan rasa kagum yang tidak terungkap terhadap Misha, yang selama ini dianggapnya sebagai idola.

Dalam pertemuan itu, Melly turut kelihatan sebak.

“Saya adalah peminat filem seram dan sangat meminati Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2.

“Bagi saya, Misha yang menyanyikan lagu runut bunyi filem itu, sangat menyentuh hati.

“Tidak ramai penyanyi yang boleh menghayati sesebuah lagu itu sekali gus menjadikan sesebuah babak itu hidup dan meninggalkan impak kepada penonton.

“Malah, semasa saya mendengar Misha menyanyikan lagu Pulangkan tadi, saya menangis,” katanya.

Break, Bermula Dari Mesej

Mengulas proses terhasilnya lagu Break, Melly berkongsi bagaimana ia bermula selepas mereka saling berhubung menerusi media sosial.

“Selepas konsert saya yang pertama di Kuala Lumpur, saya ada hantar mesej kepada Misha kerana sudi hadir. Kemudian Misha ada meminta lagu daripada saya dan kebetulan memang saya nak bagi lagu kepadanya.

“Saya berikan dia dua buah lagu. Tetapi projek ini tidak dirakamkan serta-merta hingga saya sangkakan ia tidak jadi.

“Sehinggalah saya menerima mesej daripada penggubah lagu Break iaitu Toh Pati yang bergambar bersama Misha di studio,” jelas Melly.

Bukan itu sahaja, Melly turut membuka ruang untuk kolaborasi pada masa akan datang, termasuk idea berduet bagi projek runut bunyi yang sesuai.

Break turut dipilih sebagai lagu tema (OST) bagi drama bersiri Astro, Mandul Bukan Pilihan, dan karya ini telah pun dilancarkan di platform digital bulan lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf