Hiburan

Meerqeen & Qasrina Dalam Thariq Ridzuan: His Treasure, Drama Aksi Sarat Emosi Buat Penonton Tak Sanggup Lepas Pandang!

Share

Selepas mencipta fenomena, Thariq Ridzuan: His Treasure, karya novelis tersohor Hudanajwa kini diangkat ke layar televisyen. Ia menampilkan kisah cinta, pengorbanan dan trauma silam yang disulam aksi mendebarkan.

Bagi pengarah prolifik Eyra Rahman, dia berpendapat naskhah ini bukan sekadar satu projek biasa, tetapi menjadi titik tolak untuknya mengarahkan naskhah genre aksi buat pertama kalinya.

Ia bukan sekadar drama ketenteraan, Thariq Ridzuwan: His Treasure (TRHT) adalah tentang janji, pengorbanan dan cinta yang tak terucap!

Sebelum menonton drama Thariq Ridzuan: His Treasure yang bakal bersiaran bermula 23 Julai ini, ini ‘fun-facts’ menarik yang korang perlu tahu;

‘Action Drama’ Pertama Arahan Eyra Rahman

Eyra Rahman akui teruja meski dia tidak menafikan berdepan pelbagai cabaran ketika mengarahkan drama adaptasi novel, Thariq Ridzuan: His Treasure.

Menurut Eyra, ini kali pertama dia mengarahkan drama bergenre aksi dan drama berat secara serentak, menjadikan antara cabaran paling mencabar dalam kerjayanya sebagai pengarah.

“Banyak cabaran untuk hasilkan drama Thariq Ridzuan ini. Saya hampir nak menangis. Ini merupakan kali pertama saya mengarahkan drama bergenre aksi dan ‘heavy drama’.

“Sebelum ini saya hanya mengarahkan drama berat seperti Layang-Layang Perkahwinan, Curang Tanpa Niatdan Syurga Itu Bukan Mudah.

“Mulanya saya tertanya-tanya, mampukah saya arahkan drama ini? Namun, saya sahut cabaran ini dan berusaha untuk ‘work smart’. Malah bersyukur kerana punyai team yang hebat dan banyak membantu saya,” katanya.

Meerqeen Memang ‘Onz’!

Dalam pada itu, Eyra turut memuji komitmen para pelakon, termasuklah bintang utamanya iaitu Meerqeen, yang disifatkan sebagai aktor berdedikasi.

“Saya akui barisan pelakon drama ini kebanyakannya masih baru tapi roh dan jiwa mereka sangat kuat. Saya sangat hargai perkara itu.

“Walaupun mereka masih ‘hijau’, namun saya tetap percaya mereka dan begitu juga sebaliknya. Malah, kerjasama saya dengan Meerqeen juga sangat bagus. Dia faham dengan apa yang pengarah minta.

“Saya akui Meerqeen antara aktor pelapis yang hebat. Terima kasih Meerqeen kerana memberikan jiwa dan raga kepada saya sepanjang penggambaran. Saya bangga,” kata Eyra.

Thariq Ubah Perspektif Hidup Meerqeen

Bagi Meerqeen pula, naskhah ini disifatkan sebagai sebuah drama istimewa, bukan sahaja dari segi jalan cerita, malah kesan emosi yang mendalam terhadap dirinya.

“Thariq ini saya bawa dengan penuh jiwa dan emosi. Malah, saya sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan pengarah Eyra Rahman.

“Bukan mudah untuk saya bawakan watak ini.
Kak Eyra selalu pesan supaya saya tidak terikat dengan jalan cerita novel. Dia juga buka satu dimensi yang lain buat saya teroka watak Thariq ini,” katanya.

Meerqeen turut mendedahkan, betapa sinonim watak tersebut dengan dirinya sehingga banyak menghabiskan masa dengan pengarah sepanjang proses penggambaran.

“Bila di set, kalau kita ada 24 jam, 20 jam itu saya bersama dengan Kak Eyra. Thariq sangat dekat dengan saya. Ia mengajar saya untuk jadi manusia lebih baik,” katanya.

Qasrina Beri Yang Terbaik, Komitmen 100%

Sementara itu, bagi heroin drama Thariq Ridzuan: His Treasure, Qasrina Karim pula, dia akui watak Radwa ini memberikan impak sangat besar terhadap emosinya.

Malah, Qasrina mengakui ada kalanya dia datang ke set dengan perasaan kurang gembira disebab beban emosi yang terlalu berat.

“Setiap watak yang saya terima sentiasa mencabar saya untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Sama juga menerusi watak Radwa. Ia sangat beremosi dan berat buat saya.

“Sejujurnya saya ada bergelut untuk jayakan watak ini untuk beberapa minggu yang pertama. Saya datang ke set dengan perasaan yang tak gembira.

“Saya kena rasa perasaan Radwa ini. Sampai ke akhir watak ini sangat berat. Saya kena kekal konsisten. Meerqeen juga sangat membantu untuk meminjamkan rasa,” ujarnya.

Cinta Tegang Anggota Tentera – Jarang Gila Dalam Drama Tempatan

Salah satu drama Malaysia yang berani bawa kisah cinta berlatar belakang ketenteraan,  siap dengan misi skuad elit, tag tentera, gear taktikal, dan kisah melawan orang jahat.

Kisah mendebarkan dengan perasaan yang membuai apabila ia mengangkat kisah tentang seorang tentera dan misinya. Lebih menusuk, bila ada jiwa-jiwa yang menanggung rindu dalam diam!

Di sebalik kekuatan fizikal dan ketegangan adegan aksi, terselit kelembutan dan perjuangan emosi yang dalam dan itulah sentuhan Eyra Rahman sebagai pengarah.

Malah Thariq yang dibawa Meerqeen bukan hanya di hadapan kamera, tetapi digambarkan hingga terbawa hingga ke luar set penggambaran.

Postur fizikal, gerak tubuh serta tutur kata Meerqeen sebagai Thariq, seolah-olah diserap masuk ke dalam denyut nadi seorang askar yang setia pada tanggungjawab dan cinta.

Lalu hadirlah Radwa yang didukung oleh Qasrina, yang digambarkan sebagai seseorang yang tegas, tapi diuji dengan cemburu kerana erat menggenggam rasa percaya yang rapuh.

Kerana janji seorang tentera bukan hanya kepada tanahair, tetapi juga kepada hati yang ditinggalkan…

Lebih 30 Watak Bergabung!

Daripada pasangan utama sampai ke seluruh skuad Holy Dragon, drama ini penuh dengan karakter yang unik, ada kisah masing-masing.

Selain Meerqeen, naskhah terbitan MIG Production Sdn. Bhd ini turut membariskan Qarina Karim, Evertts Gomes, Thomson Goh dan ramai lagi.

OST Yang Gempak

Soundtrack drama ini turut digubah khas untuk kisah Thariq dan Radwa, dari lagu baharu nyanyian kumpulan Alpha, ciptaan dan nyanyian Hael Hussaini.

Thariq Ridzuan: His Treasure akan mula ditayangkan bermula 23 Julai depan setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro Go.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

@mediahiburanofficial Tak sabar nak tengok gandingan Meerqeen dan Qastina Karim dalam drama terbaharu yang berjudul Thariq Ridzwan: His Treasure. Ini merupakan percubaan pertama daripada pengarah, Eyra Rahman untuk menghasilkan naskhah yang menyelitkan elemen ‘heavy drama’ dan aksi. #MHnews #MediaHiburan #thariqridzuwancommandohistreasure ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf