
Meskipun sudah dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas 2025 (KE2025), Mazleen bagaimanapun menegaskan dia tidak akan meninggalkan kerjayanya di unit Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Menurut Mazleen, sebaik sahaja tamat pertandingan itu, dia akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan bagi membincangkan hala tuju kariernya sebagai penyanyi profesional.
“Saya memang sudah lama berkhidmat di unit Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor di bawah naungan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor.
“Saya akan terus berkhidmat kerana pekerjaan saya ini hanya melibatkan persembahan untuk VVIP. Jadi, untuk perancangan kerja selepas ini, saya akan berkomunikasi dengan jabatan tertinggi untuk mendapatkan khidmat nasihat.
“Saya sayang pekerjaan saya ini. Untuk kerjaya nyanyian, kini ada pihak yang akan menguruskan saya. Saya tidak akan lepaskan peluang ini kerana saya memang nak berada di dalam industri ini,” katanya MH.
Anak jati Kluang, Johor itu ditemui selepas berakhirnya konsert akhir KE2025 yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada Sabtu.
Mengulas reaksinya yang tidak dapat menahan sebak saat diumumkan sebagai juara, Mazleen mengakui impian untuk menaikkan standard KE2025 akhirnya tercapai.
“Saya terharu dan bersyukur kerana saingan tahun ini sangat hebat. Paling mengharukan apabila saya berjaya buat rakan-rakan lain terus berlawan sepanjang program ini.
“Jika kita bagi nasihat atau pandangan, mungkin susah mereka nak dengar. Jadi, saya bagi persembahan terbaik agar mereka juga bersemangat untuk terus bagi saingan sehingga malam akhir ini.
“Ini memang visi kami di KE2025. Kami mahu cipta impak yang luar biasa. Saya rasa kami berjaya,” ujarnya lagi.
Mazleen turut menambah bahawa dia tidak pernah menjangka kemenangannya meskipun tampil konsisten hampir setiap minggu.
“Tak juga sebab saya juga melalui fasa turun dan naik di program ini. Namun, saya sudah nampak hala tuju dan saya tidak mahu buang masa.
“Jika kita anggap program ini hanya sebuah persembahan, kita tidak akan menang kerana sudah terbiasa dengan suasana itu. Ini adalah program pertandingan, kita kena set mood untuk bertanding,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mazleen menegaskan dirinya sudah bersedia menghadapi cabaran dunia seni termasuk komen dan kritikan netizen.
“Saya sudah bersedia untuk menghadapi realiti dunia seni. Ini adalah lumrah manusia. Ada orang terima baik dan buruk kita. Begitu juga penerimaan kita terhadap orang lain.
“Saya tidak mahu terkesan dengan apa-apa situasi. Apa sahaja yang saya lakukan, saya mahu terus maju ke hadapan.
“Sepanjang berada di program ini, saya tidak baca sangat komen-komen netizen. Lagipun, kami tak dibenarkan berbuat sedemikian. Kami kena tutup mata dan telinga. Jika ada yang negatif pun, saya ambil sebagai vitamin,” katanya lagi.
Mazleen yang membawa pulang hadiah utama bernilai RM30,000, pakej umrah, percutian ke Dubai dan trofi sumbangan Astro turut menerima ucapan tahniah daripada ramai rakan selebriti seperti Siti Nordiana, Tomok, dan juga Jaclyn Victor yang memuji semangat juangnya di media sosial.
Naib juara dimenangi oleh Zekrai, manakala tempat ketiga disandang oleh Nawary.
Final KE2025 bersiaran secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam pada Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Sistem pemarkahan ditentukan melalui 70% juri profesional, 20% juri awam serta 10% undian penonton di rumah.
Untuk musim ini, Elly Mazlein kembali sebagai pengacara utama, dibantu pelawak Joey Daud yang mengendalikan segmen belakang pentas dan diari.
Barisan juri pula terdiri daripada primadona Erra Fazira, pelawak Roy Azman serta Ning Baizura di samping Datuk Yusof Haslam sebagai juri jemputan final.
Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan tempatan dan antarabangsa tanpa henti dengan Astro One — kini dengan bundle eksklusif Disney+ Hotstar dan HBO Max, dari RM69.99/sebulan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Rasai kebaikan vitamin & probiotik dalam KITSUI Whitie Snow, bantu kulit tampak lebih sihat & berseri.
Rasai kebaikan vitamin & probiotik dalam KITSUI Whitie Snow, bantu kulit tampak lebih sihat & berseri.