Hiburan

Vokalis Kumpulan Element, Lucky Widja Meninggal Dunia Pada Usia 49 Tahun

Share

Dunia muzik Indonesia kehilangan seorang lagi figura penting apabila salah seorang vokalis kumpulan Element, Lucky Widja, disahkan meninggal dunia pada malam 25 Januari 2026.

Kematian penyanyi berusia 49 tahun itu disebabkan masalah kesihatan serius kerana beliau menghidap tuberkulosis ginjal, penyakit yang telah dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

Menurut laporan, keadaan kesihatan Lucky semakin merosot sejak 2022 apabila beliau terpaksa menjalani rawatan intensif termasuk prosedur dialisis akibat komplikasi penyakit tersebut. Keadaannya dilaporkan tidak stabil sejak kebelakangan ini sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah Lucky akan disemadikan di Tanah Perkuburan Umum Jeruk Purut, Jakarta Selatan selepas solat Zohor hari ini.

Pemergian Lucky mencetuskan rasa dukacita dalam kalangan rakan industri dan peminat, khususnya mereka yang membesar dengan karya-karya Element sejak era kegemilangan kumpulan itu pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.

Lucky meninggalkan seorang isteri dan seorang cahaya mata lelaki.

Selain Lucky, kumpulan element turut dianggotai oleh Ferdy Tahier (vokal), Didi Riyadi (dram), Fajar Maringka (keyboard), Arya Prasetyo (gitar) dan Adhitya Pratama (gitar).

Rakan sekumpulannya serta sahabat terdekat turut berkongsi ucapan takziah menerusi media sosial, menyifatkan Lucky sebagai seorang insan berdedikasi dan jiwa seni yang besar.

Lucky Widja dikenali sebagai suara utama yang mengangkat nama Element menerusi deretan lagu malar segar seperti Rahasia Hati, Cinta Tak Bersyarat, Cinta Sejati dan Pergilah Adinda, yang turut mendapat tempat dalam kalangan pendengar di Malaysia.

Karya-karya nyanyian beliau bukan sahaja mencorakkan identiti Element, malah menjadi sebahagian daripada memori generasi pencinta muzik Nusantara yang membesar dengan lagu-lagu berunsur cinta dan emosi yang kuat.

Sekadar info, Lucky meninggalkan seorang isteri, Aleima Sharuna yang dinikahinya pada tahun 2013. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang dinamakan Alzion Vardhana Wijadiputra.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA