
Barisan duta dan wajah kempen menjadi tumpuan utama Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran Ariani 2026, baru-baru ini apabila jenama fesyen Muslimah terkemuka itu setia mengekalkan tiga duta tetapnya, Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad.
Turut diperkenalkan ialah Fyza Kadir sebagai wajah Ariani RTW Premium, selain kemunculan semula Mira Filzah yang pernah menjadi duta mereka sebelum ini.
Pertunjukan fesyen yang berlangsung penuh gemilang di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal seperti Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor.
Kehadiran lebih 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada pelanggan VVIP dan pelanggan setia, rakan media, selebriti serta mempengaruh media sosial membuktikan pengaruh kukuh jenama ini dalam industri fesyen Muslimah tanah air.
Sempena menyambut ketibaan Aidilfitri tahun ini, pinaknya menampilkan lebih 100 rekaan hijab dan busana yang meraikan keindahan warna sebagai simbol keanggunan, kebersamaan dan kegembiraan Syawal.
Koleksi ini menggabungkan motif alam, flora serta cetakan abstrak kontemporari dengan pilihan material dan teknik cetakan yang unik.
Warna-warna tular seperti Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green turut diketengahkan, selari dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti klasik ARIANI.
Dalam ucapannya, Datin Seri Farah Haryani, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., menjelaskan sambutan Aidilfitri tiap tahun sudah pasti akan membawa makna yang lebih mendalam.
“Aidilfitri adalah saat untuk meraikan kebersamaan bersama insan tersayang. Persalinan baju raya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang kegembiraan dan kenangan bermakna yang diraikan bersama keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Koleksi Warna Lebaran Ariani menampilkan lebih 400 variasi hijab polos dan bercorak.
Turut diperkenalkan ialah koleksi Ariani Luxe dan bintang versatil, Elly Mazlein tampil membuka tirai pertunjukan sebagai Muse, sekali gus memperagakan rekaan eksklusif yang menyerlahkan keanggunan dan personalitinya.
Koleksi lelaki Aryan pula menampilkan baju melayu sedondon, kurta dan jubah untuk semua peringkat umur.
Tahun ini, Bront Palarae diperkenalkan sebagai duta, menambah daya tarikan koleksi pakaian buat golongan.
Dalam pada itu, segmen Ready-to-Wear (RTW) juga menyediakan 300,000 helai busana raya merangkumi lebih 600 rekaan terkini daripada saiz bayi hingga dewasa.
Pertunjukan telah dimeriahkan dengan persembahan artis tersohor seperti Dato’ M. Nasir, Liza Aziz, Azlina Aziz, Ruffedge dan Amelina.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.