Berita

Ligamen Kaki Terkoyak Sebab Main Bola, Neelofa Anggap Jaga PU Riz Sebagai ‘Ladang Pahala’

Share

Ketiadaan pendakwah bebas, PU Riz dalam program Mualim Muda sebelum ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton.

Bagaimanapun, persoalan itu terjawab apabila PU Riz menjelaskan dia terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan ligamen kaki yang terkoyak ketika bermain bola sepak.

Menurut PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail, keadaan kakinya kini sudah beransur pulih, namun pergerakannya masih agak terbatas.

“Alhamdulillah, kaki saya sudah beransur sembuh. Tadi pun sudah dapat doa daripada Ustaz Kazim.

“Kaki saya cedera disebabkan bermain bola. Jadi, ligamen kaki saya agak terkoyak,” katanya kepada MH.

PU Riz berkata demikian ketika ditemui di pentas suku akhir Mualim Muda yang berlangsung di Visual Three Studio, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Jalani Fisioterapi

Mengulas mengenai rawatan susulan, suami kepada selebriti terkenal Neelofa itu memaklumkan bahawa dia hanya perlu menjalani sesi fisioterapi bagi membantu proses pemulihan.

“Saya hanya perlu menjalani fisioterapi tapi keadaannya sudah seperti orang yang mengalami sakit gout.

“Jalan pun kena perlahan-lahan,” kongsinya lagi.

Tambah PU Riz, walaupun kakinya belum sembuh sepenuhnya, dia merasakan dirinya tidak boleh berehat terlalu lama dan perlu kembali bekerja secara berperingkat.

“Saya masih boleh bekerja sikit-sikit. Lagipun, saya tak boleh duduk rumah terlalu lama. Lagi bertambah sakit dan pening kepala.

“Saya sudah berehat hampir tiga minggu. Jadi, saya kena banyak berjalan,” katanya lagi.

Berterima Kasih Kepada Neelofa

PU Riz turut menzahirkan penghargaan terhadap isterinya, Noor Neelofa yang disifatkan sangat mengambil berat sepanjang tempoh dia berehat.

“Alhamdulillah isteri mengambil berat keadaan saya dengan sangat baik. Penjagaan makanan semua lengkap.

“Walaupun orang tak tanya, saya tetap harus memberikan kredit kepada isteri tercinta,” ujarnya.

Sementara itu, Neelofa pula menyifatkan insiden tersebut sebagai peluang untuk mengumpul pahala dengan menjaga suami yang sedang sakit.

“Saya ambil peluang itu sebagai ladang pahala. Menjaga, menyediakan makanan dan bantu untuk mandi. Saya seronok dapat berkhidmat untuk suami,” katanya.

Terdahulu, sepanjang dua minggu berehat, posisi PU Riz sebagai pengacara Mualim Muda digantikan dengan penyanyi dan pelakon, Mawi.

Untuk rekod, Mualim Muda bersiaran pada setiap Jumaat bermula jam 9 malam di saluran Astro Oasis.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf