Categories: Berita Hiburan

“Letaklah Semua Kesalahan Ini Kepada Saya,” – Kemelut Rumah Tangga, Nubhan Enggan Panjangkan Isu & Sentiasa Hormati Isteri

Share

Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad enggan mengulas panjang mengenai kemelut yang melibatkan isteri, anak-anak serta keluarga mentua seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut Nubhan, dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan bersedia meletakkan segala kesalahan kepada dirinya sendiri.

“Berat untuk saya melalui ujian ini. Biarlah saya meletakkan kesemua kesalahan yang berlaku ini kepada diri saya sendiri. Perkara ini bukan mudah untuk saya hadapi.

“Saya rasa, cukup-cukuplah kita bercakap soal rumah tangga saya. Apapun yang terjadi, hal ini hanya melibatkan saya dan isteri.

“Apa yang orang luar tahu, itu hanyalah sedikit sahaja. Selebihnya, biarlah saya simpan sendiri,” katanya kepada

MH.

Penyanyi lagu Ada Untukmu itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas berakhirnya konsert minggu kedua Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Nubhan turut menyambut baik saranan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, untuk menyelesaikan segala isu berbangkit secara peribadi.

“Memang itulah cara yang terbaik. Ketika ini, saya merasakan spekulasi sudah semakin banyak dan rancak bertebaran. Ada yang mengutuk dan cakap yang bukan-bukan.

“Apapun yang berlaku, saya masih dan akan terus menghormati isteri saya sebagai ibu kepada anak-anak saya.

“Kepada anda yang melihat apa yang berlaku di media sosial, tak perlu cakap yang bukan-bukan kepada isteri saya.

“Letakkan sahaja kesalahan itu pada saya. Gelar dan cakaplah apa sahaja kepada saya. Situasi ini harus dihentikan. Saya kini hanya mahu fokus pada anak-anak dan GV12.

“Bagilah saya ruang dan peluang untuk saya teruskan tanggungjawab di GV12 ini,” kongsinya lagi.

Anak-Anak & Ibu Jadi Sumber Kekuatan

Ketika ditanya bagaimana dirinya mampu terus kuat menghadapi ujian ketika ini, Nubhan akui anak-anak dan ibunya menjadi sumber utama kekuatannya.

“Anak-anak dan ibu adalah sumber kekuatan saya. Jika mereka tiada di dalam hidup saya, siapalah saya. Saya juga bersyukur kerana dapat sokongan daripada peminat dan kawan-kawan.

“Mereka beri kepercayaan kepada saya. Jika tiada semangat dan kepercayaan itu, rasanya saya pun tiada kekuatan untuk meneruskan persembahan.

“Saya tak nafikan GV12 ini memang memberikan tekanan. Jadi, saya memang memerlukan lingkungan-lingkungan yang bagus untuk menguatkan semangat saya,” kongsinya.

“Sementara itu, Nubhan turut meminta agar berhenti membuat spekulasi dan menyebarkan dakwaan tidak benar mengenai keluarganya.

“Hentikanlah segala spekulasi dan permainan di media sosial. Janganlah bermain-main dengan status dan kata-kata yang buruk.

“Hidup ini ada dosa dan pahala. Hal rumah tangga ini, hanya saya dan isteri sahaja tahu. Hal-hal seperti ini tidak sedikit pun membawa kebaikkan kepada sesiapa.

“Lebih baik kita fokus kepada kehidupan sendiri dan doakan yang terbaik,” akhirinya.

Terdahulu, Nubhan menerima kecaman hebat netizen yang menuduhnya ego selepas didakwa mahu memisahkan anak-anak dengan ibu mereka.

Malah, timbul juga dakwaan kononnya ibu mentua Nubhan menuntut RM5 juta sekiranya dia mahu berpisah dengan anaknya itu.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf