
Juara Dewi Remaja 2025, Nylea mengakui dia selesa bergelar peserta underdog atau kurang diberikan perhatian sepanjang bertanding dalam program realiti popular itu.
Menurut Nylea atau nama sebenarnya Nylea Adzlan, situasi tersebut memberikan kelebihan untuk dirinya dalam mencipta elemen kejutan ketika peserta lain kurang melihat dirinya sebagai pencabar utama.
“Anda mungkin nampak saya sangat bertenang tapi sebenarnya dalam hati ini, sentiasa berdegup kencang.
““Namun, perasaan seperti ini sudah sebati dengan saya kerana orang selalu fikir saya ini ‘underdog’.
“Ke mana sahaja saya pergi, orang lain selalunya tak risaukan mengenai kemampuan dan kelebihan saya. Namun, mentaliti seperti ini ada kebaikan.
“Ketika episod pertama misalnya, anda boleh bertanya sendiri kepada para dewi lain. Mereka tak takut dengan saya.
“Namun, selepas cabaran episod kedua, barulah mereka perasan kemampuan saya. Mereka tahu saya juga patut diberikan perhatian. Saya ada elemen kejutan walaupun bergelar ‘underdog,’” katanya kepada MH.
Anak jati Kuala Lumpur itu ditemui selepas tamat pentas akhir Dewi Remaja 2025, baru-baru ini.
Dinobatkan sebagai juara, Nylea menyifatkan segala pengorbanan berbaloi walaupun kini dia sedang membahagikan masa untuk menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Ketika ini, saya masih di dalam proses untuk menamatkan pengajian. Pada masa sama, saya akan berusaha mengejar impian dalam dunia lakonan.
“Saya tidak akan ke tepikan pelajaran. Ia penting untuk persediaan masa hadapan saya. Jika saya tidak berjaya dalam dunia hiburan, saya masih boleh bekerja dalam dunia korporat.
“Ketika ini, saya sedang di tahun akhir pengajian dan dijangka akan tamat pada tahun hadapan. Malah, ketika bertanding di Dewi Remaja 2025 ini, saya juga sedang giat siapkan thesis akhir.
“Agak susah untuk bahagikan masa. Saya juga kurang waktu tidur. Namun, saya sedia berkorban untuk sesuatu yang saya minat. Saya bahagikan masa sebaiknya,” ujarnya lagi.
Ditanya bagaimana dia ingin bersaing dengan pelakon muda lain sedangkan tidak mempunyai asas lakonan, Nylea yakin dia mampu memberikan yang terbaik dan belajar dengan cepat.
“Untuk pengetahuan semua, untuk kedua-dua cabaran lakonan di Dewi Remaja 2025, saya berjaya mendapat nombor satu. Itu kerana saya seorang cepat belajar secara visual.
“Ketika cabaran lakonan air mata, saya buat ulangkaji dan rujukan terhadap pelakon-pelakon yang handal. Lalu, saya cuba gunakan teknik mereka. Itulah cara saya memenangi cabaran ini.
“Walaupun saya tiada pengalaman dalam bidang lakonan, inilah salah satu cara saya untuk cuba tembusi pasaran industri,” akhirinya.
Pada pentas akhir Dewi Remaja 2025, Nylea dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM15,000, mahkota, selempang dan trofi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.