
Dunia fesyen antarabangsa hari ini kehilangan seorang figura ikonik apabila pereka legenda Itali, Valentino Garavani, disahkan meninggal dunia pada usia 93 tahun di kediamannya di Rome.
Pemergian pengasas rumah fesyen mewah Valentino itu sekali gus menutup satu lembaran besar dalam sejarah industri fesyen dunia yang telah dibentuk oleh sentuhan kreatifnya selama lebih enam dekad.
Valentino bukan sekadar pereka fesyen, sebaliknya simbol keanggunan klasik dan kemewahan abadi. Namanya sinonim dengan potongan sofistikated, siluet feminin serta warna ikonik Valentino Red
yang menjadi identiti eksklusif jenamanya dan sering mencuri tumpuan di pentas peragaan serta acara karpet merah berprestij.Sepanjang kerjaya gemilangnya, Valentino cukup dikenali sebagai pereka kegemaran selebriti di peringkat antarabangsa.
Rekaan eksklusifnya pernah digayakan oleh nama-nama besar seperti Elizabeth Taylor, Audrey Hepburn, Julia Roberts, Anne Hathaway serta Lady Gaga, menjadikan setiap kemunculan mereka di hadapan lensa kamera menjadi satu momen fesyen ikonik.
Selain selebriti Hollywood, jenamanya turut menjadi pilihan digayakan oleh selebriti-selebriti Malaysia di karpet merah, acara istimewa ataupun penggambaran majalah.Antara yang pernah menggayakan jenama ini seperti Marion Caunter, Daiyan Trisha dan Scha Alyahya.
Digelar Fashion’s Last Emperor, hasil rekaan Valentino sentiasa menjadi pilihan kerabat diraja dan tokoh berpengaruh dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pereka paling dihormati dalam arena haute couture.
Setiap busana yang dihasilkan bukan sekadar pakaian, malah karya seni yang memancarkan kehalusan, disiplin dan cita rasa kelas tertinggi.
Walaupun Valentino bersara secara rasmi daripada dunia rekaan pada 2008, legasi serta pengaruhnya kekal hidup melalui jenama yang diasaskannya dan terus menjadi inspirasi kepada generasi pereka baharu. Estetika romantik, elegan dan timeless yang dibawanya masih relevan hingga ke hari ini.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan