
Juri tetap Kilauan Emas 2025 (KE2025), Erra Fazira berpuas hati dengan kualiti persembahan yang ditampilkan oleh setiap peserta pada minggu separuh akhir.
Menurut Erra, semua peserta jelas menunjukkan kesungguhan bagi merebut tempat ke konsert akhir minggu hadapan.
“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pada malam ini. Saya tahu mereka sudah all out dan berikan yang terbaik.
“Ada peserta yang sedikit ‘tergeliat’ dan ada juga yang tampilkan persembahan bertaraf final,” katanya kepada MH selepas berakhir konsert.
Berkongsi pandangan mengenai ramalan konsert akhir, Erra menyifatkan saingan kini terbuka luas, termasuk daripada peserta underdog yang mula mencabar kedudukan peserta teratas.
“Persaingannya sangat sengit dan salah seorangnya sudah tentu Mazleen. Kita juga ada peserta seperti Zanie dan Nawary.
“Nawary tunjukkan persembahan luar biasa malam ini. Dia merupakan peserta underdog. Untuk yang lelaki pula, Zekrai antara yang menyerlah. Setiap minggu dia tampilkan persembahan terbaik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Erra turut mengingatkan agar peserta menguasai semua aspek pemarkahan, bukan sekadar vokal.
“Saya rasa setiap peserta perlu menguasai semua aspek pemarkahan. Jangan hanya utamakan vokal sahaja kerana persembahan secara keseluruhan juga diambil kira.
“Mereka juga perlu perbaiki bahagian penguasaan pentas. Itu juga masuk dalam pemarkahan. Mereka kena curi markah-markah ini.
“Saya harap kita akan jumpa seorang juara yang akan membawa nama Kilauan Emas 2025 yang akan terus kekal relevan dan tidak akan tenggelam selepas berakhir program,” katanya lagi.
Pada minggu separuh akhir ini, perjalanan Leeza dan Kinar terhenti apabila mereka diumumkan tersingkir daripada saingan.
Ketika ditemui, Leeza tidak menafikan rasa terkilan apabila gagal melangkah ke pentas akhir.
“Sudah tentu saya rasa agak sedih kerana saya memang betul-betul berjuang untuk melangkah ke konsert akhir. Namun, tak mengapalah. Ini adat pertandingan.
“Lagipun saya bangga dengan pencapaian diri sendiri sepanjang berada di KE2025. Saya bertanding dengan peserta-peserta yang lebih berpengalaman.
“Mereka sudah biasa buat persembahan di pentas-pentas besar. Untuk berada di tahap ini, saya sudah cukup gembira,” katanya.
Leeza juga mendedahkan faktor kesihatan sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya.
“Semasa menyertai KE2025 ini, kesihatan saya tidak berapa baik pada peringkat awal. Setelah jumpa sebuah klinik yang disarankan oleh seorang kawan, saya rasa keadaan suara saya minggu ini dalam keadaan terbaik.
“Mungkin disebabkan masalah kesihatan itu, saya jadi tak berani untuk berjuang membawakan lagu yang mencabar. Mungkin rezeki saya sampai di sini sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Kinar yang sebelum ini sering menerima undian tinggi mengakui terkejut dengan keputusan tersebut.
“Saya terkejut kerana tersingkir. Saya sudah buat yang terbaik. Jujur dari hati, saya memang tak puas hati.
“Untuk menguasai dua buah lagu dalam masa tiga hari, bukan kerja mudah. Kita kena hafal lirik, tarian dan penghayatan.
“Seperti apa yang dikatakan oleh pihak juri kepada saya, saya rasa netizen akan boleh menilai dan berfikir sendiri,” katanya.
Keputusan Minggu Separuh Akhir KE2025
1. Mazleen – 86.30%
2. Nawary – 82.46%
3. Zekrai – 77.83%
4. Zanie – 77.63%
5. Majid – 72.56%
6. Ezan – 71.12%
7. Leeza – 70.93%
8. Kinar – 65.49%
Konsert separuh akhir turut digamatkan dengan persembahan artis undangan T-Rez Kamikaze, Datuk Nora Ariffin dan Zarith Mega.
Sistem pemarkahan ditentukan melalui 70% juri profesional, 20% juri awam serta 10% undian penonton. Juara musim ini bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Selain konsert mingguan, peminat juga boleh mengikuti Diari Kilauan Emas 2025 bermula 11 Ogos, setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam, serta Kapsul Profil Peserta mulai 5 Ogos jam 3 petang.
Untuk musim ini, Elly Mazlein kembali sebagai pengacara utama, dibantu pelawak Joey Daud.
Barisan juri terdiri daripada Erra Fazira, Roy Azman serta Ning Baizura, manakala Zarul Husin bertindak sebagai hos Spotlight selepas konsert.
KE2025 juga boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.
Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan tempatan dan antarabangsa tanpa henti dengan Astro One — kini dengan bundle eksklusif Disney+ Hotstar dan HBO Max, dari RM69.99/sebulan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini