
Dunia hiburan Korea Selatan sekali lagi dikejutkan dengan pemergian tragis penyanyi wanita, Lee Min, yang juga merupakan anggota duo terkenal As One.
Lee Min atau nama sebenarnya Lee Min Young dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Seoul pada pagi Isnin, 5 Ogos. Menurut kenyataan rasmi daripada agensinya, BrandNew Music, mendiang ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya sebelum disahkan meninggal dunia. Punca kematian masih dalam siasatan pihak polis.
“Kami amat dukacita memaklumkan bahawa Lee Min telah meninggalkan kita. Kami memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan rasmi dikeluarkan,” kata wakil BrandNew Music dalam kenyataan media.
Lee Min, 43, memulakan kerjayanya dalam industri muzik Korea Selatan sebagai sebahagian daripada duo As One pada tahun 1999 bersama rakan duetnya, Crystal. Mereka dikenali menerusi lagu-lagu balada dan R&B seperti Day by Day dan Desire and Hope, yang berjaya mencuri perhatian peminat K-pop generasi awal.
Lebih menyedihkan, pemergian Lee Min berlaku hanya beberapa minggu selepas mereka melancarkan single terbaru berjudul Happy Birthday To You pada Jun lalu. Mereka turut membuat kemunculan istimewa dalam rancangan muzik The Seasons: Cantabile of Park Bo Gum, sekaligus menyemarakkan nostalgia buat peminat lama.
Crystal, yang kini menetap di Amerika Syarikat, dilaporkan telah bergegas pulang ke Korea Selatan sejurus menerima khabar duka tersebut.
Peminat serta rakan industri telah mula membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan penghormatan terhadap mendiang, yang disifatkan sebagai berbakat besar serta memiliki suara yang menyentuh hati.
Lee Min meninggalkan legasi seni yang besar dalam dunia muzik Korea dan pemergiannya satu kehilangan yang amat dirasai.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan