
Meskipun baru kali pertama dianjurkan, Latihan Pestapora Malaysia 2025 berjaya mencipta impak luar biasa apabila menghimpunkan lebih 25,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hujung minggu lalu.
Festival mega ini merupakan hasil kolaborasi dua penganjur, Hitman Solutions dan Boss Creator, yang menjadikan acara ini sebagai jambatan budaya antara artis Malaysia dan Indonesia, sambil mengetengahkan pelbagai genre muzik serantau.
Antara persembahan paling dinanti sudah tentunya dari Sheila On 7, yang kembali ke Malaysia selepas kali terakhir beraksi di sini pada 2018.
Aura dan kerinduan peminat dibalas dengan penampilan mantap yang menggamatkan SNBJ.
Menurut vokalis kumpulan itu, Duta Modjo, dia terharu dengan sambutan hangat, khususnya daripada generasi muda.
“Terima kasih kerana sudah meluangkan hujung minggu anda untuk menyaksikan persembahan kami. Terima kasih juga buat Latihan Pestapora yang sudah mengundang kami di sini.
“Sudah lama Sheila On 7 tidak datang ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, tahun ini kita dapat kembali bertemu.
“Terima kasih juga kerana sudah percaya bahawa menonton persembahan kami adalah satu perkara yang menyeronokkan.
“Terima kasih juga kerana sudah membesar dengan muzik kami. Mungkin juga kami seusia dengan ibu bapa atau ibu bapa saudara kalian,” katanya.
Sheila On 7 menyampaikan lagu-lagu ikonik seperti Melompat Lebih Tinggi, Sephia, Dan, Filem Favorit dan Berhenti Berharap yang mencetuskan nostalgia buat ribuan peminat.
Selain Sheila On 7, senarai bintang dari Indonesia yang turut membuat persembahan termasuk Kunto Aji, Nadin Amizah, Hindia, Feast, Efek Rumah Kaca, Barasuara dan Feel Koplo.
Dari Malaysia pula, persembahan bertenaga daripada Dolla, Bunkface, Bittersweet dan Salam Muzik turut menyerlah.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, menyifatkan kejayaan acara ini sebagai bukti Malaysia bersedia menganjurkan festival bertaraf antarabangsa.
“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah satu pencapaian besar. Ia bukan sahaja kejayaan produksi, tetapi juga simbol kejayaan budaya.
“Kami membawa satu IP (harta intelek) festival antarabangsa ke Malaysia dan berjaya membuka ruang untuk penonton tempatan dan luar negara menikmati pengalaman ini di tanah air sendiri,” jelasnya.
Tambah Rohit lagi, berdasarkan sambutan hangat dan maklum balas positif daripada peminat, tidak mustahil Latihan Pestapora bakal menjadi acara tahunan.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora merangkap Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, melihat acara ini sebagai lebih dari sekadar hiburan.
“Kami melihat sendiri bagaimana peminat dari Malaysia terbang ke Jakarta saban tahun untuk menyertai Pestapora. Kini tiba masanya kami bawa ‘latihan’ ke sini agar rakyat Malaysia juga dapat merasai magisnya.
“Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah pengalaman membina komuniti dan semangat serantau,” ujarnya lagi.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 ini diadakan sebagai ‘pemanas enjin’ menjelang edisi utama Pestapora Jakarta yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 7 September depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini