Setelah lapan tahun menyepi dari dunia nyanyian sebelum menyertai Gegar Vaganza 4, penyanyi Liza Hanim menyifatkan 2018 adalah tahun terbaik untuk mencipta namanya semula.

Bagaimanapun, penyanyi tersebut mengakui dia sedikit pun tidak menyesal sepanjang tempoh menghilang. Malah penyanyi Merawat Luka ini menganggap pelbagai kejayaan telah dikecapinya sama ada dalam bidang perniagaan mahu pun keluarga sebelum ini.

“Saya bercuti agak lama dari tahun 2009 sehingga 2017 dan sepanjang lapan tahun saya ‘lost’ saya sedikit tidak berasa ralat kerana itu adalah pilihan saya.

 

“Sewaktu saya bercuti saya berasa sangat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga dan banyak juga kejayaan hidup yang saya kecapi.

 

“Saya percaya rezeki yang Allah bagi datang daripada pelbagai bentuk,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Semalam Di Malaya anjuran Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO).

Dalam pada itu, Liza turut merakam rasa bangga dan berbesar hati apabila diberi peluang membuat persembahan bersama Malaysia Philharmonic Orchestra bersempena ulang tahun mereka yang ke-20.

IKLAN

“Selepas 21 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian ini adalah kali pertama saya membuat persembahan bersama orkestra dan ia telah menjadi impian saya sejak dulu lagi.

 

“Di Malaysia, kalau seseorang penyanyi itu pernah membuat persembahan bersama MPO, portfolio mereka akan kuat.

 

“Jadi, saya berasa amat berbangga untuk membuat persembahan bersama MPO walaupun saya mengetahui cabaran untuk menyanyi bersama orkestra adalah sukar,” katanya lagi.

Konsert ini bukan sahaja untuk menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia Philharmonic Orchestra yang ke-20 tahun tetapi ia turut sama meraikan Hari Malaysia.

IKLAN

Salain Liza Hamin, Konsert Semalam Di Malaya akan turut membariskan penyanyi seperti Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo.

IKLAN

Konsert tersebut bakal berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC pada 15 dan 16 September 2018. Tiket boleh didapati menerusi laman web www.mpo.com.my.

Foto: Carian google

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI