Categories: Berita Hiburan

“Kurus Sekelip Mata Ikut Artis Hollywood?” – Doktor Viral Ini Dedah Risiko Sebenar ‘Magic Pen’ Yang Ramai Tak Tahu

Share

Siapa yang tidak terpesona melihat selebriti semasa Hollywood tampil lebih langsing dalam sekelip mata?

Malah tidak dinafikan, trend penurunan berat badan melalui suntikan misalnya yang diberi jolokan ‘magic pen’ turut menjadi bualan hangat.

Malah, ada nama-nama besar di Hollywood turut dikaitkan, kononnya menggunakan ubat GLP-1 bagi membantu menguruskan berat badan mereka.

Menurut Dr Afif Mohd Ridzwan, fenomena ini bukan sahaja menarik perhatian peminat, malah turut mencetuskan trend berbahaya di media sosial apabila masyarakat mula meniru langkah selebriti tanpa mengetahui risiko sebenar di sebalik penggunaan ‘magic pen’ tersebut.

“Tengok selebriti Hollywood langsing dan cantik, orang kita pun nak buat juga. Nak jadi macam mereka.

“Kita kena tahu, di luar negara, penggunaan suntikan ini dipantau ketat. Ia tidak dijual sesuka hati kerana melibatkan risiko kesihatan.

“Apa yang  mengejutkan, di Malaysia ‘magic pen’ kini dijual secara terbuka di media sosial, siap dengan tawaran COD, malah ada pihak lain termasuk klinik dan farmasi didakwa turut menjualnya sambil membandingkan harga.

“Situasi ini membimbangkan dan sepatutnya dipantau dengan lebih ketat kerana ia melibatkan ubat suntikan yang memberi kesan langsung kepada tubuh badan.

“Apa yang sesuai untuk artis luar negara tidak semestinya sesuai untuk tubuh badan orang biasa. Setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan risiko yang berbeza.

“Selebriti mempunyai akses kepada doktor pakar, pemantauan rapi dan rawatan susulan. Masyarakat kita pula hanya melihat hasil sebelum dan selepas, lalu menganggap ia selamat untuk digunakan.

“Ingin saya ingatkan, bahawa meniru gaya hidup selebriti tanpa bimbingan perubatan boleh membawa padah, walaupun nampak mudah dan cepat di media sosial,” katanya.

‘Magic Pen’ Bukan Sihir, Ada Risiko Kesihatan

Apa itu ‘magic pen’? Sebenarnya, istilah ini merujuk kepada ubat suntikan GLP-1 seperti Ozempic, Wegovy atau Mounjaro, yang digunakan untuk menurunkan berat badan atau mengawal paras gula dalam darah.

Namun menurut Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, apa yang dipaparkan di media sosial jugahanyalah hasil luaran, sedangkan aspek kesihatan sebenar tidak didedahkan kepada umum.

“Dalam perubatan, tiada istilah ‘magic’. Apa yang dipanggil ‘magic pen’ sebenarnya ubat suntikan yang mempengaruhi hormon dalam badan. Jika digunakan tanpa saringan kesihatan dan pemantauan doktor, ia boleh membawa risiko kesan sampingan yang serius.

“Tidak semua individu sesuai menggunakan suntikan ini. Ada pesakit yang mempunyai masalah hormon, gastrik, buah pinggang atau penyakit kronik lain yang boleh mengalami komplikasi jika mengambilnya tanpa kawalan,” katanya.

Selain isu kesihatan, Dr Afif turut menekankan aspek agama dalam penggunaan ubat suntikan tanpa keperluan perubatan.

“Dalam Islam, tubuh badan adalah amanah daripada Allah. Kita dilarang mencederakan diri sendiri atau mengambil sesuatu yang boleh membawa mudarat.

“Islam tidak mengajar umatnya mencari jalan pintas yang boleh membawa kemudaratan hanya demi penampilan.

“Iyalah, pembeli akan berhadapan risiko produk ‘fake’ dan tidak berdaftar.

“Apabila sesuatu ubat disuntik terus ke dalam badan, ia bukan lagi soal kosmetik. Jika sumbernya tidak jelas, kita bukan sahaja mempertaruhkan kesihatan, malah boleh terdedah kepada perkara syubhah atau haram,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Afif menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup selebriti atau testimoni di media sosial.

“Saya tak kata perlu tolak sepenuhnya atau jauhkan diri dari ‘magic pen’. Jika suntikan  itu diperlukan atas nasihat doktor, boleh teruskan.

“Dalam masa yang sama, amalkanlah pemakanan seimbang, perubahan gaya hidup, aktiviti fizikal serta pemantauan kesihatan yang berterusan. Ini lebih selari dengan prinsip perubatan dan ajaran Islam.

“Saya juga ingin tekankan di sini, penurunan berat badan yang sihat tetap berpaksikan kepada kalori defisit, bukannya bergantung kepada jalan pintas atau produk yang tidak dipantau secara perubatan.

“Apa juga nama diet atau kaedah yang digunakan, prinsipnya tetap sama iaitu kalori defisit. Ia dicapai melalui pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan rehat yang mencukupi.

“Lagi pun, kesihatan bukan eksperimen dan tubuh badan bukan medan ujian. Mencegah kemudaratan jauh lebih utama daripada mengejar hasil segera,” tambahnya lagi.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH