Categories: Berita Hiburan

Kontroversi Tajuk ‘Malaikat Malam’, Pengarah Jelaskan Maksud Sebenar – “Kalau Nak Faham, Kena Tonton…”

Share

Pengarah filem Malaikat Malam, Nazifdin Nasrudin menegaskan pemilihan tajuk bagi karya terbaharunya itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur keagamaan.

Sebaliknya, Nazifdin menjelaskan penggunaan perkataan ‘malaikat’ hanyalah sebagai metafora untuk menggambarkan sinar dan harapan yang dibawakan oleh dua watak utama, Azam dan Ratna, yang masing-masing bergelut dengan kehidupan mereka.

“Saya ingin memohon maaf jika perkataan ‘Malaikat Malam’ itu ada menyinggung mana-mana pihak. Sejujurnya penggunaan perkataan malaikat itu tiada kena mengena dengan konteks keagamaan secara literal.

“Ia hanya merujuk kepada satu objektif penting. Kalau nak faham, anda kena tonton filem ini. Saya tak boleh nak bagitahu makna sebenarnya.

“Secara keseluruhan, perkataan ‘malaikat’ itu hanyalah metafora yang berkait rapat dengan fungsi kedua-dua watak utama Azam dan Ratna. Mereka saling memberikan sinar dan harapan buat diri masing-masing.

“Perkataan itu digunapakai dengan penuh kepekaan dan moraliti. Saya bukan nak menyinggung mana-mana pihak. Harap mereka faham,” katanya kepada MH.

Nazifdin atau sinonim disapa Bujoq berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Malaikat Malam yang berlangsung di Kingston Hotel Premier, baru-baru ini.

Akuinya lagi, dia tidak menyangka pemilihan tajuk tersebut akan mencetuskan perbincangan besar, memandangkan penggunaan bahasa metafora dalam tajuk filem bukanlah sesuatu yang asing.

“Sejujurnya saya memang tak menyangka pemilihan tajuk ini akan menjadi isu besar. Filem-filem dahulu pun ada menggunakan tajuk seperti ini.

“Malah, di negara-negara luar juga, mereka menggunakan nama yang agak puitis. Saya boleh sahaja nak buat tajuk ‘KL Rempit’ atau sebagainya tapi filem ini ada sisi lembutnya.

“Jadi, pemilihan tajuk juga perlu ada kelembutannya,” ujarnya lagi.

Harapan Buat Naskhah Terbaharu

Dalam masa sama, Nazifdin turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang beranggapan dirinya cuba menyamakan kehidupan mat motor dengan malaikat menerusi tajuk filem tersebut.

“Pada saya, pandangan seperti itu diambil secara luar konteks. Namun, saya faham bila ada yang membuat andaian sedemikian. Saya tak salahkan mereka.

“Apa yang boleh saya katakan, filem ini tak seperti apa yang mereka gambarkan itu. Saya tak guna perkataan ‘malaikat’ itu untuk menggambarkan dunia permotoran.

“Ia berkait rapat tentang kehadiran dua individu yang saling memerlukan,” kongsinya lagi.

Ketika ditanya sama ada kontroversi berkaitan tajuk filem itu menimbulkan kerisauan terhadap jumlah kehadiran penonton, Nazifdin berharap orang ramai dapat memahami maksud sebenar selepas menonton karya berkenaan.

“Bila buat filem, sudah tentu kita mahukan publisiti yang baik sahaja. Ada juga yang kata, publisiti yang buruk juga mampu memberikan impak.

“Namun, saya juga tak bersetuju jika publisiti ini ada menyinggung mana-mana pihak. Dalam masa sama, isu ini turut mengajar saya juga.

“Diharapkan selepas anda menonton dan faham maksud filem ini, mungkin publisiti buruk ini boleh berkurang. Itulah harapan saya,” akhirinya.

Terdahulu, filem Malaikat Malam terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 26 Mac.

Filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Amir Nafis, Que Haidar dan Kodi Rasheed.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Syafiq Kyle

Published by
Aizam Manaf