
Berita baik buat warga Sarawak, khususnya di Miri! Astro dengan kerjasama TV Sarawak (TVS) bakal menganjurkan acara muzik berskala besar, Konsert MeleTOP TVS pada 17 Mei ini bertempat di Stadium Tertutup Miri.
Acara ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Bakal menjadi satu momen bersejarah, ini merupakan kali pertama MeleTOP menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.
Penonton bakal dihiburkan dengan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi.
Konsert ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TVS (122 Astro, MYTV & Unifi TV), Astro ONE dan platform Sooka.
Kemuncak kemeriahan turut diteruskan pada 21 Mei dengan Konsert Berkat Gawai – Kaamatan yang menampilkan barisan artis hebat termasuk Ella, Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, dan Marina Jara dari Kalimantan.
Perayaan Gawai dan Kaamatan bermula jam 7.30 malam dan bagi yang terlepas, siaran ulangan akan disiarkan di TVS pada 31 Mei 2025, jam 9.00 malam.
Konsert ini dijangka memberikan pengalaman luar biasa kepada penonton dalam meraikan sambutan budaya yang penuh warna-warni.
Dorongan Besar Demi Industri Kreatif Sarawak
Terdahulu pengumuman dua konsert ini telah dibuat di Astro, Bukit Jalil dan dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak (MYSED), baru-baru ini.
Menurut Abdul Karim, acara ini menjadi dorongan besar untuk industri kreatif di Sarawak.
“Jutaan tahniah buat TVS dan Astro yang telah menjalinkan kerjasama untuk membawakan acara yang sememangnya istimewa buat warga Miri dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menambah, konsert sebegini bukan sahaja menghiburkan, malah mampu menarik pengunjung dari seluruh Malaysia dan negara jiran, sekaligus merangsang ekonomi tempatan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, menyatakan komitmen untuk membawakan kemeriahan sempena ulang tahun ke-20 Bandar Raya Miri.
Penolong Naib Presiden Astro, Elyna Rahmat pula berpendapat, muzik sebagai elemen penyatuan dan konsert ini adalah contoh sempurna bagaimana kita meraikan perpaduan itu.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini.
Dengan kemasukan percuma dan barisan bintang popular, dua konsert ini pastinya menjadi antara acara yang paling dinanti di Sarawak!
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Kredit Foto: Instagram Dolla, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Ella & SMDX