
Menyimpan impian untuk mengumpulkan semula sahabat lama dalam Konsert Kristal OG – 25 Tahun di Zepp KL, pada 1 Mei depan, penyanyi Lan Solo memulakan langkah dengan menghubungi gitaris utama kumpulan Kristal, Rody bagi mengatur pertemuan.
Bagaimanapun, usaha tersebut difahamkan tidak menjadi kenyataan apabila rakannya itu tidak memberikan maklum balas yang diharapkan, sekali gus menyebabkan konsert tersebut tetap diteruskan tanpa Rody dan seorang lagi anggota asal, Ainul.
Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 40, berkata, dia usaha sejak pertengahan tahun lalu untuk merealisasikan pertemuan tersebut.
“Sebaik menerima tawaran ini sekitar Jun tahun lalu, Rody orang pertama saya maklumkan dan minta kami bersemuka memandangkan sudah lama tidak bertemu. Bagi saya, lebih baik berbincang depan-depan daripada bermesej menerusi WhatsApp.
“Tetapi hari demi hari, dia hanya beri jawapan ‘nanti fikir’ selain bagi alasan sibuk. Dari Jun 2025 hingga Julai menghampiri Ogos, saya buat keputusan berhenti mencuba.
“Begitu juga dengan Ainul. Kita tak boleh tunggu, jadi kami akan teruskan Konsert Kristal OG dengan bekas anggota yang lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert bersempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni kumpulan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lan menjelaskanc dia mendapatkan nombor telefon Rody melalui adik gitaris berkenaan, Acap, selepas sekian lama tidak berhubung.
“Saya dapatkan nombor telefon melalui Acap kerana sudah lama kami tidak berhubung. Saya cuba hubungi tetapi tidak berjawab, mungkin dia tidak kenal nombor saya.
“Namun dia ada WhatsApp bertanya siapa saya. Itu menunjukkan dia tidak simpan nombor saya. Saya terus perkenalkan diri dan beritahu ingin berbincang mengenai satu projek,” ujarnya lagi.
Mengakui kecewa dengan situasi itu, Lan menjelaskan niatnya hanyalah untuk memperbaiki hubungan selain memenuhi hasrat peminat yang ingin melihat mereka kembali sepentas.
“Saya sudah rendahkan ego kerana rasa ini masa sesuai tetapi agak kecewa apabila tidak menjadi seperti dirancang,” ujarnya yang tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh Rody.
“Bohong kalau saya kata tidak kecewa. Ini jalan pertama yang saya pilih iaitu berjumpa dan berbincang bagi jadikan konsert ini satu memori indah buat Kristal sempena ulang tahun ke-25.
“Apabila perancangan tidak dapat dilakukan, saya anggap belum ada rezeki. Saya perlu teruskan fokus dan hormati keputusan yang diberikan,” jelasnya.
Terdahulu, konflik antara mereka dipercayai bermula apabila Lan menyertai Gegar Vaganza musim keempat pada 2017.
Susulan itu, Rody mengambil keputusan untuk ‘merehatkannya’ dan mencari vokalis pengganti, sekali gus mendorong Lan meninggalkan kumpulan Kristal.
Selepas itu, masing-masing membawa haluan sendiri sebelum Lan kembali aktif bersama Kristal X sekitar enam tahun lalu.
Dalam pada itu, Konsert Kristal OG 25 Tahun bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi platform untuk mengimbau nostalgia menerusi deretan lagu yang pernah membesar bersama peminat selama lebih dua dekad.
“Konsert kali ini adalah berlainan dengan konsert Kristal sebelum ini. Kami akan ‘all out’, dengan saya akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dirakam dari Album pertama sehingga album yang ke-13.
“Lagu-lagu dalam album tersebut termasuklah yang dianggotai oleh ahli lain iaitu Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi anak beranak Kristal dalam album itu.
“Signifikan 25 tahun Kristal ini adalah perjalanan seni Lan Solo Bersama Kristal dari zaman kanak-kanan sehinggalah kini, merangkumi perjalanan selama 25 tahun.
“Sepanjang kami terbitkan album sebanyak 13 album, ahli anggota kami ada yang bertukar-tukar tetapi konsep dan genre muzik tetap sama saja dan hanya dinyanyikan oleh Lan Solo.
“Jatuh bangun perjalanan Kristal sepanjang 25 tahun ini kami telah lalui pelbagai cabaran, dugaan, sedih, gembira, rakan Kumpulan yang bertukar-tukar tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk berkarya dan kekal relevan,” katanya.
Konsert Kristal OG 25 Tahun dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event, serta mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Tiket kini telah mula dijual dan peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam penuh bersejarah ini boleh mendapatkan tiket melalui pautan rasmi https://blaviaofficial.com/pages/kristalog
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini