
Meskipun sudah seminggu berlalu, impak yang berjaya dicetuskan menerusi acara Konsert Countdown KITA 2026 masih lagi diperkatakan sehingga hari ini.
Masakan tidak, acara yang berlangsung meriah di IOI City Mall itu telah berjaya menghimpunkan lebih 143,000 pengunjung, seterusnya menjadikan ia sambutan Tahun Baharu nombor satu di Malaysia!
Imbau momen menjelang detik 12 tengah malam ketika itu, paling mencuri tumpuan sudah semestinya persembahan luar biasa yang dibawa penyanyi, Amir Masdi yang membawakan lagu The Final Countdown di atas platform setinggi dua tingkat bangunan.
Spektakular dengan iringan percikan bunga api sebagai simbolik menandakan kehadiran tahun 2026, persembahan berkenaan disifatkan peminat sebagai antara persembahan yang ikonik dan akan dikenang sampai bila-bila.
Menurut Amir, ketika Astro berkongsi mengenai idea gempak tersebut, dia juga turut teruja dan terus bersetuju tanpa berfikir panjang.
“Sebenarnya idea luar biasa daripada pihak produksi Astro dan IOI City Mall yang memberi peluang kepada saya untuk menyanyi di aras tingkat dua, dengan latar bunga api yang memukau.
“Ya, benar-benar sesuatu yang sukar untuk ditolak. Tanpa sebarang keraguan, saya terus bersetuju.
“Sebabnya saya percaya mana-mana penyanyi yang diberipeluang sebegini pasti akan memberikan yang terbaik, seratus peratus. Saya benar-benar berasa dihargai,” katanya.
Menurut Naib Presiden Kandungan GenNext, Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Konsert Countdown KITA merupakan salah satu usaha Astro untuk menghargai sokongan tanpa henti masyarakat sepanjang tahun 2025.
“Konsert Countdown KITA kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar sebuah konsert penutup tahun.
“Ia mencerminkan komitmen Astro terhadap kekuatan hiburan dalam menyatukan rakyat Malaysia, memberi inspirasi serta mencipta kenangan bermakna bersama.
“Sambutan hangat serta tenaga luar biasa daripada para penonton pada tahun ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menyampaikan pengalaman hiburan yang inklusif, bermakna dan memberi impak kepada semua,” kongsinya.
Sementara itu, ikon muzik Tamil tempatan yang terkenal dengangenre Sambarock, Darkkey Nagaraja turut berjaya menggamatkan suasana Konsert Countdown KITA 2026 lalu menerusi lagu Puli Puli dan lagu klasik kegemaran ramai Akkamage.
Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan peminat daripada kalangan berbangsa India, malah turut membangkitkan keterujaan para penonton di IOI City Mall.
Aura luar biasa yang dipersembahkan oleh Darkkey jelas menunjukkan Malaysia kaya dengan persembahan daripada artis-artis berbilang kaum.
Penampilan Alpha juga berjaya mencetuskan fenomena dan menjadikan suasana Konsert Countdown KITA 2026 gegak gempita saat mereka muncul di pentas utama.
Sebelum acara utama dimulakan, para pengunjung terlebih dahulu dihiburkan dengan barisan-barisan artis meningkat naik di acara Tirai Konsert KITA yang bermula jam 4 petang.
Antara selebriti yang turut menggamatkan pentas Tirai Konsert KITA 2026 adalah seperti Danson ASQ, MIN ASQ, Jun Jun, Wani Kayrie dan barisan finalis Raise The Star Malaysia seperti Zuana dan Rayme.
Pada sebelah malam pula, antara selebriti yang turut tidak ketinggalan menampilkan persembahan hebat di Konsert Countdown KITA 2026 termasuklah Nadeera Zaini, KLP48, Alleycats, Ella, Hael Hussaini dan ramai lagi.
Konsert Countdown KITA 2026 turut menampilkan barisan artis baharu seperti Didie Shazry, Auddra dan Marsya TTMM.
Konsert ini dihoskan oleh tiga pengacara hebat iaitu Nabil Ahmad, Yoon Ng dan Revathy Mariappan yang berjaya menghidupkan suasana sehingga detik ambang tahun baharu.
Bagi penonton yang terlepas menyaksikan detik-detik istimewa ini secara langsung, persembahan-persembahan hebat daripadaAstro Home of Live boleh distrim semula menerusi pakej Astro One atau sooka.
Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan terbaik seisi keluarga dengan Astro One — kini dengan akses ke Saluran Kanak-Kanak dan Disney+ dari RM69.99/bulan untuk momen bersama yang lebih bermakna.
Untuk hiburan terkini dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.