Berita

“Kita Patut Bertimbang Rasa…,” – Ada Pihak Rendahkan Ibu Bapa Tunggu Bantuan Persekolahan Kerajaan? Rita Rudaini Sokong Tindakan Individu Ini

Share

Pelakon Rita Rudaini tampil memberikan sokongan terhadap kenyataan seorang individu yang meluahkan rasaterhadap tindakan segelintir ibu bapa yang didakwa merendahkan ibu bapa lain hanya kerana kurang berkemampuan untuk menyediakan persiapan lengkap persekolahan buat anak-anak mereka.

Menurut Rita, isu seperti ini membuatkan dirinya berasa geram sehingga enggan terlibat dalam kumpulan sembang yang diwujudkan khas oleh para guru untuk berkomunikasi dengan ibu bapa pelajar.

“Terbaik. Saya suka energy mcm ni. Benci parents yang suka buli parents yang kurang mampu. Sebab itu saya tak boleh duduk dalam grup Whatsapp sekolah.

“Menggelegak baca komen ibu bapa yang terpaling ‘Saya okay boleh sahaja, kenapa awak tak boleh?’, ‘Jangan harap disorong bantal’ atau ‘Anak saya boleh sahaja’,” tulisnya.

Perkara tersebut dikongsikan oleh pelakon filem Anak Mami itu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.

Seruan Rita… Lebih Empati, Bertimbang Rasa

Dalam pada itu, Rita turut menyeru semua pihak agar lebih bertimbang rasa terhadap kesukaran ekonomi yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah ibu bapa.

“Kita sepatutnya menjadi lebih baik dan bertimbang rasa terhadap orang lain. Sekali sekala, letak diri kita di tempat mereka.

“Saya sokong awak. Menyala,” kongsinya lagi.

Netizen Tampil Menyokong

Terdahulu, seorang individu bertindak menegur sikap seorang ibu yang didakwa seakan memerli ibu bapa yang menunggu bantuan daripada pihak kerajaan untuk membeli barangan keperluan persekolahan anak-anak.

Malah, individu tersebut turut menyatakan kesediaannya untuk berhadapan dengan ibu bapa berkenaan sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan teguran yang diberikan.

Individu terbabit berpendapat, tindakan memerli sedemikian disifatkan sebagai keterlaluan dan berpotensi menyinggung perasaan ibu bapa lain yang sedang berdepan dengan masalah kesempitan ekonomi.

Kenyataan tersebut turut mendapat sokongan netizen yang berpendapat perkara seperti ini tidak seharusnya dinormalisasikan, lebih-lebih lagi dalam kalangan ibu bapa.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: IG & Threads Rita Rudaini, Raaffick_Eclipse

Published by
Aizam Manaf