
Kerap kali diajukan soalan mengenai soal zuriat, pelakon dan penyanyi Amira Othman memohon orang ramai untuk memberikannya ruang dan privasi berkaitan hal kehidupan peribadinya.
Menurut Amira, dia pasti akan berkongsi tentang apa sahaja perkara yang baik apabila sampai waktunya nanti.
“Sebelum berkahwin, orang bertanya bila nak kahwin? Bila sudah kahwin, orang tanya tentang mengandung pula. Namun, jika ada berita baik dan waktunya sesuai, pasti saya akan kongsikan.
“Kalau saya tidak berkongsi, biarlah ia kekal sebegitu. Jadi, saya mohon sedikit privasi dan ruang untuk saya dan Fattah. Saya juga ingin memohon doa yang baik-baik daripada semua termasuklah peminat.
“Walaupun bergelar public figure, kita pun nak kehidupan seperti orang lain juga,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pelakon popular Fattah Amin itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pertunjukkan koleksi raya Amber ‘Eid’s Time For Love’ di Glasshouse At Seputeh, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Rasa & Takdir ini tidak tersinggung, sebaliknya menyifatkan ia sebagai lumrah bergelar anak seni.
“Saya tak boleh rasa penat kerana ini lumrah menjadi anak seni. Walaupun banyak kali saya sudah jawab, orang tetap akan bertanya lagi. Pada saya, ini perkara biasa.
“Kalau kita tak nak layan pertanyaan peminat ini, maka tak layaklah saya nak berada di dalam industri ini. Namun, bila ada yang buat spekulasi, saya agak kurang bersetuju.
“Selagi ia tak keluar daripada mulut saya atau Fattah, tak perlu buat andaian. Biarlah ia keluar daripada tuan badan sendiri,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, ramai pihak membuat spekulasi dengan mendakwa Amira kini sedang hamil susulan tular video yang seakan memperlihatkan ‘baby bump’.
Malah, Amira juga pernah disangka hamil selepas dimasukkan ke wad. Bagaimanapun, Amira menyifatkan spekulasi yang bertebaran itu sebagai satu kelaziman.
Spekulasi turut tercetus apabila Fattah berkongsi khabar duka apabila Amira tidak dapat menyertainya ke Seoul berikutan isu kesihatan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Sekadar informasi, Amira dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September tahun lalu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.