Berita

“Kini Saya Menantu Yang Disayangi,” – Buka Kisah Di Awal Perkahwinan, Naqiu Tiada Niat Nak Aibkan Ibu Mentua

Share

Penyanyi Naqiu mendedahkan dirinya tidak mempunyai niat untuk mengaibkan ibu mentua apabila berkongsi kembali kisah hubungan dingin di antara mereka sewaktu dia dan isteri, Hanisah Zuhari baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Menurut Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, kisah yang dikongsikan di sebuah program audio siar itu hanyalah sebagai inspirasi buat mereka yang melalui nasib sama sepertinya untuk tidak berhenti berusaha memenangi hati keluarga mentua.

“Saya cuma nak berkongsi cabaran yang menjadikan saya manusia seperti hari ini. Cabaran-cabaran itulah yang membentuk keperibadian saya yang sekarang.

“Bukan mudah rasanya untuk tidak diterima oleh keluarga mentua. Namun, kisah itu bukanlah untuk mengaibkan sesiapa. Saya rasa ramai orang di luar sana yang lalui proses seperti saya.

“Jika kita mahu diterima, kita kena usaha. Itulah yang cuba saya terangkan. Saya tiada niat nak berlagak atau mengajak orang lain menjadi tanggang moden.

“Saya hanya ingin menjadi contoh. Kalau kita rasa orang itu memang sudah ditakdirkan untuk kita, kita kena kejar,” katanya kepada MH.

Anggota kumpulan Boboi itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media single terbaharu nyanyian Azmi Saat berjudul Satu di Red Box Karaoke, The Gardens, Kuala Lumpur pada Selasa.

Menerusi projek single ini, Naqiu bertindak sebagai komposer dan lirik pula ditulis oleh Wit Mohsen.

Bersebab Kongsi Cerita Lama

Jelas Naqiu, dia berharap agar perkongsiannya itu dapat membuka minda ramai orang untuk tidak membiarkan hubungan dingin bersama keluarga mentua terus berpanjangan.

“Saya ramai bergaul dengan orang. Ramai diantara mereka yang melalui situasi sebegitu tapi mereka tidak bercerita sahaja.

“Bila mereka dengar apa yang saya katakan, barulah mereka tahu yang sebenarnya ada orang lain yang lalui pengalaman lebih teruk,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai reaksi isteri dan ibu mentua lepas program audio siar itu ditayangkan, Naqiu menjelaskan hubungan mereka kini sudah semakin terbuka dan lebih akrab.

“Isteri saya okay sahaja. Lagipun podcast itu ditayangkan sebelum hari raya. Bila hari raya baru-baru ini, ibu mentua saya ada berseloroh ‘Oh, cakap fasal mama ya?’.

“Kami okay sahaja. Alhamdulillah, selepas segala apa yang saya lalui selama ini, kini saya menjadi menantu yang disayangi,” katanya.

Dalam pada itu, Naqiu mengakui antara punca hubungan dingin berlaku adalah berpunca daripada dirinya sendiri.

“Segalanya berlaku sebab saya saya sendiri juga. Jika ada yang tahu, sebelum saya buat comeback, rupa saya tidak seperti orang normal.

“Siapa sahaja yang nak jadikan menantu. Begitulah kisahnya. Kalau kita nak jadi menantu orang lain, kenalah jadi manusia. Itulah pengajarannya,” akhirinya.

Imbas kembali, Naqiu dan Hani bertemu jodoh pada 18 Januari 2010. Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan enam cahaya mata.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf