Categories: Hiburan

“Kini Saya Ada Ibu Sahaja…,” – Ziana Zain Anggap Arwah Abah Sebagai Pelindung, Mahu Adik Beradik Terus Kekal Bersatu

Share

Meskipun berat menerima ketentuan Ilahi, penyanyi dan pelakon, Ziana Zain tetap reda dan berlapang dada dengan pemergian bapanya, Allahyarham Zin Abdullah.

Menurut Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, arwah bapanya adalah pelindung yang sentiasa mempertahankan dirinya sepanjang hayat.

“Doakanlah saya dan anak-anak. Sebagai anak, kita perlukan ibu bapa di sisi. Kini saya hanya ada ibu seorang sahaja. Itu yang buatkan saya agak sedih.

“Bapa adalah pelindung saya selama ini. Walaupun dia hanya terbaring, orang tak boleh main-main dengan saya kerana saya masih ada bapa.

“Kini, Allah sudah ambil bapa saya. Jadi, saya kena kuat. Saya masih ada mak, adik beradik dan anak-anak lelaki.

“Kami keluarga yang sangat bersatu. Itu yang telah diajar oleh arwah ayah selama ini. Alhamdulillah, berkat didikan arwah ayah dan ibu, kami kekal bersatu sehingga hari ini,” katanya kepada MH ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, pada Selasa.

Pesan & Pengorbanan Arwah Jadi Pendorong

Ziana turut menghargai segala pengorbanan bapanya yang menjadi tulang belakang sepanjang dia dan adiknya, Anuar Zain, bergelar penyanyi.

“Arwah adalah tulang belakang dalam perjalanan kerjaya saya dan Anuar sebagai anak seni. Arwahlah yang ajar saya menyanyi, teknik penafasan dan cara sebutan dalam nyanyian.

“Dari segi fesyen, arwah juga amat menitik beratkan soal pemakaian dan penampilan. Sehingga hari ini, walaupun dia sakit, dia akan bertanya ke mana saya pergi.

“Jika saya bekerja, dia akan tanya saya pergi dengan siapa? Siapa juru solek saya? Kalau Bobo, dia akan suka.

“Bila balik ke rumah, saya akan tunjuk gambar persembahan pada ayah. Dia akan puji saya cantik,” ujarnya lagi.

Tambah Ziana, dia akan sentiasa memegang erat nasihat bapanya yang sering diingatkan selama ini.

“Dia selalu nasihatkan saya untuk menyanyi dengan ikhlas. Kerjaya ini adalah sumber rezeki kita. Bila kita naik ke pentas, orang akan tahu aura kita.

“Jadi, kita kena sentiasa berikan yang terbaik. Saya akan ingat pesan itu sampai bila-bila,” akhirinya.

Terdahulu, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga mereka di Subang Permai, Selangor sekitar pukul 2.50 petang sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina pada jam 7 malam.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf