Categories: Hiburan

Kilauan Emas 2025 Tampil Lebih Inklusif! Mak Ray-D Alpha & Kakak Achik Spin Bakal Gegarkan Pentas

Share

Pentas realiti nyanyian untuk golongan otai kembali dengan lebih berbisa! ‘Kilauan Emas 2025’ bakal menemui penonton mulai 16 Ogos ini, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105) dengan wajah dan format baharu yang lebih inklusif, segar dan menyentuh jiwa.

Musim ini menyaksikan kejutan besar apabila had umur penyertaan diturunkan kepada 43 tahun, membuka lebih banyak peluang kepada generasi otai baharu yang berbakat besar untuk kembali menyerlahkan cahaya seni mereka.

Uji bakat yang berlangsung di beberapa lokasi termasuk Miri, Johor dan Shah Alam telah berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta dari pelbagai latar belakang sekaligus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mengejar impian.

Kepelbagaian Latar Peserta

Antara peserta yang mencuri perhatian musim ini ialah Leeza, seorang wanita berjiwa seni yang bukan calang-calang , beliau merupakan ibu kepada Ray-D, ahli kumpulan popular Alpha. Ternyata, darah seni mengalir deras dalam keluarga ini! Leeza tampil dengan vokal bertenaga dan aura tersendiri yang dijangka memberi saingan sengit di pentas Kilauan Emas.

Leeza
Nurul

Tidak kurang hebatnya, seorang lagi peserta iaitu Nurul, yang merupakan kakak kepada penyanyi tersohor tanah air, Allahyarham Achik Spin. Kehadiran Nurul membawa sentuhan emosi yang mendalam apabila beliau tampil bukan hanya sebagai peserta, tetapi sebagai penerus legasi keluarga yang menyinari industri muzik tanah air.

Selain mereka berdua, ‘Kilauan Emas 2025’ mempertaruhkan seramai 10 lagi peserta solo lain berusia antara 43 hingga 65 tahun iaitu Zanie, Shah, Kinar, Mazleen, Majid, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay. Masing-masing membawa keunikan dan kekuatan tersendiri, menjadikan persaingan kali ini lebih sengit dan mendebarkan.

Selebriti Hebat Penguat Program

Menguatkan lagi aura glamor program ini, Elly Mazlein kembali sebagai hos utama bersama Joey Daud yang mengendalikan segmen belakang pentas dan Diari Kilauan Emas. Erra Fazira pula kekal sebagai juri tetap dan digandingkan dengan seorang lagi juri iaitu, Roy Azman. Istimewa musim ini, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, juga bakal duduk di kerusi juri untuk menilai setiap peserta.

Tidak ketinggalan selain rancangan utama yang dikendalikan oleh Elly Mazlein, Zarul Husin akan mengendalikan segmen ‘Spotlight’ yang bersiaran setiap Sabtu, 11.30 malam yang bakal membawakan kupasan dan drama belakang tabir yang ‘berbisa’. Manakala, Keanu Azman dan Sarah Karmila pula akan merancakkan segmen Live+.

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Prima, edisi kali ini bukan hanya menampilkan format yang diperbaharui, tetapi turut menonjolkan kisah-kisah menyentuh hati daripada para peserta.

“Musim ini menyaksikan penambahbaikan ketara dari segi kriteria penyertaan dan format produksi, dan kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diterima. Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, malah merupakan medium untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik, budaya dan aspirasi yang dikongsi bersama.

“Kami juga teruja apabila melihat penyertaan daripada individu yang mempunyai latar belakang seni keluarga. Ia membuktikan bahawa minat dan semangat dalam seni tidak pernah luntur, malah diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Setiap peserta membawa kisah tersendiri dan Kilauan Emas kekal sebagai pentas untuk membina keyakinan serta memperkasa golongan otai dalam mengejar impian mereka,” kongsinya.

Untuk musim ini, sistem pemarkahan ditentukan melalui 70% juri profesional, 20% juri awam serta 10% undian penonton di rumah. Juara pertandingan ini bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Selain konsert mingguan yang berlangsung selama 8 minggu, peminat juga boleh ikuti Diari Kilauan Emas 2025 bermula 11 Ogos setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam, serta Kapsul Profil Peserta mulai 5 Ogos jam 3 petang, menampilkan kisah inspirasi peserta. Semua siaran boleh distrim menerusi Astro GO, Ultra/Ulti Box dan aplikasi sooka.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

Published by
MFA