
Pasangan pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng, hari ini memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap individu bernama Norsufiah (juga dikenali sebagai CP), berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap mereka.
Perintah tersebut melarang pihak CP daripada mengeluarkan, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan berpotensi fitnah terhadap pasangan berkenaan, sementara menunggu penyelesaian penuh kes saman yang difailkan oleh pihak Nur Nilam dan Azlan.
Perintah injunksi ini disahkan oleh firma guaman Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid Aziana & Co, yang mewakili pasangan tersebut.
Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan selepas meneliti hujahan serta dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.
Menurut Nur Nilam Ortiz, keputusan tersebut merupakan satu langkah positif dalam usaha mereka menegakkan kebenaran dan melindungi reputasi daripada kenyataan tidak benar di ruang awam.
“Saya anggap ini permulaan yang baik dalam perjuangan kami mencari kebenaran. Kami hanya mahu membersihkan nama dan meneruskan kehidupan dengan tenang. Semoga proses mahkamah berjalan lancar,” ujar Nilam menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media.
Perintah injunksi ini menandakan langkah penting dalam memastikan isu berkenaan diselesaikan melalui proses perundangan yang sah dan adil.
Pada Ogos lalu, Azlan dan Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tindakan terbabit diambil selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial.
Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat oleh Cik Pia didakwa mengandungi fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi dan buli siber yang menyebabkan Nilam mengalami tekanan emosi lebih-lebih lagi dalam keadaan hamil.
Sebelum itu, pada 1 Julai 2025, Cik Pia mewakili syarikat MSH Empire Resources nekad untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (Letter of Demand) kepada Nilam dan Azlan yang menuntut permohonan maaf secara terbuka dan bayaran ganti rugi berjumlah RM1 juta dari mereka.
Menurut Cik Pia, dia dan syarikat terkesan dengan dakwaan pasangan terbabit yang sudah mencemar nama baik, memberi kesan langsung terhadap jualan produk dan reputasi perniagaan.
Tambahnya, syarikat tersebut sudah difitnah secara terbuka, dituduh menjual produk berbahaya dan reputasi syarikat dan sebagai usahawan diganggu dengan niat yang jelas untuk menjatuhkannya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.