
Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, menzahirkan rasa syukur dan bangga apabila anak keduanya, Sophea Natasha, berjaya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Kolej Tunku Kurshiah (TKC), sebuah sekolah berasrama penuh berprestij khusus untuk pelajar perempuan.
Perkara itu dikongsikan beliau menerusi satu hantaran di media sosial, di mana Dr Sheikh Muszaphar memaklumkan kejayaan tersebut merupakan hasil usaha keras anaknya yang sentiasa berdisiplin dalam menyeimbangkan akademik dan aktiviti kokurikulum.
Menurut beliau, Sophea Natasha menjalani latihan intensif dalam bidang renang dan olahraga, namun tetap memberikan tumpuan terhadap pelajaran setiap kali ada ruang dan kesempatan, meskipun jadual hariannya padat dengan komitmen latihan.
“Alhamdulillah, segala usaha dan pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil. Kamu memperoleh apa yang diimpikan,” tulis beliau dalam kapsyen berkenaan, sambil menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu nikmat yang amat disyukuri sekeluarga.
Dr Sheikh Muszaphar turut menyatakan rasa bangga sebagai seorang bapa, selain memaklumkan bahawa isterinya, Dr. Halina Mohd Yunos juga berkongsi perasaan yang sama terhadap kejayaan anak mereka.
Untuk rekod, tahun lalu, anak sulung beliau, Sophea Isabella, turut menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Kolej Tunku Kurshiah, namun memilih untuk meneruskan pengajian di Kolej PERMATApintar Negara, sebuah institusi pendidikan khas yang memfokuskan pembangunan pelajar pintar dan berbakat.
Kolej Tunku Kurshiah pula merupakan antara sekolah berasrama penuh berprestij di negara ini, terkenal dengan pencapaian akademik cemerlang serta penekanan terhadap pembentukan sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Pencapaian kedua-dua anak Dr. Sheikh Muszaphar itu sekali gus mencerminkan kepentingan disiplin, pengorbanan serta keseimbangan antara akademik dan pembangunan diri dalam membentuk kecemerlangan pelajar.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan