Categories: Hiburan

“Kekasihku Di Dunia, Permaisuri Bidadariku Di Akhirat,” – Genap 5 Tahun Kahwin, Nukilan Suami Mira Filzah Buat Ramai ‘Cair’

Share

Suami kepada pelakon popular, Mira Filzah, iaitu Wan Emir Astar menitipkan ucapan penuh emosi bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.

Menurut Emir, tempoh lima tahun itu adalah perjalanan penuh makna bersama isteri tercinta yang sentiasa mendampingi dalam susah dan senang.

“Lima tahun sudah, kekasihku Mira Filzah. Lima tahun penuh tawa, doa, dan cerita. Dari detik pertama kau hadir di jiwa, ke saat dilafazkan akad untuk menjagamu, hingga ke hari ini, setiap hela nafas perjalanan kita adalah anugerah yang tak ternilai.

“Nur Amirah, kau bukan sekadar isteri. Kau adalah sahabatku yang paling setia, peneman dalam setiap langkah, dan redha serta takdir-Nya menjadikan kita saling melengkapi.

“Bersamamu, belajar dan mengenal makna syukur, mengamati erti pengorbanan. Dalam setiap senyummu, ku temui ketenangan. Dalam setiap tangismu, ku temui bahgia dan kekuatan,” tulisnya.

Nukilan istimewa itu dikongsikan Emir menerusi hantaran di Instagram.

Doa Kekal Hingga ke Syurga

Dalam coretan tersebut, Emir turut menyifatkan Mira sebagai sumber kekuatan dan lambang isteri solehah.

“Setiap hari bersamamu adalah nikmat anugerah dari-Nya. Dari awal hari kita mula dengan doa, dan di malam hari kita akhiri dengan syukur, dahi di tempat sujud. Kau menjadikan hidup ini lebih indah sebagai isteri solehah.

“Denganmu, cinta bukan sekadar kata-kata, tetapi sebuah perjalanan. Suka dan duka, ujian dan rahmat, semuanya menjadikan kita lebih kuat bersama merentasi alam kehidupan dunia, demi cinta kerana Allah Taala.

“Hari ini kita sambut lima tahun, syukur alhamdulillah, tetapi kita berdua tahu, perjalanan kita baru bermula. InsyaAllah, masih banyak lagi yang menanti,” katanya lagi.

Pada masa sama, Emir mendoakan agar hubungan rumah tangga mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Impian yang kita kejar, doa yang ingin kita makbulkan, dan memori yang akan kita ukir bersama, membina bekal untuk ke negeri abadi.

“Semoga Allah sentiasa memelihara kasih sayang kita, melindungi keluarga kita, dan memberkati setiap langkah kita bersama.

“Selamat ulang tahun perkahwinan yang kelima, Nur Amirah Filzah. Kekasihku di dunia, permaisuri bidadariku di akhirat,” akhirinya.

Sekadar informasi, Emir dan Mira mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir, kini berusia tiga tahun.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber & Kredit Foto: Instagram Wan Emir Astar

Published by
Aizam Manaf