Categories: Berita Hiburan

“Kata-Kata Itu Menjijikkan… Saya Masih Baru Bergelar Mualaf,” – Mell Sakura Terkesan Komen Kasar Netizen

Share

Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.

Menurut Mell atau nama sebenarnya Melly Matius, komen tersebut ditinggalkan oleh seorang individu yang merasakan tingkah lakunya di GV12 tidak bersesuaian dengan imejnya sebagai wanita berhijab.

“Insiden komen netizen itu baru sahaja berlaku. Mungkin juga sebab saya baru sahaja kembali muncul di kaca tv. Bila dapat komen sedemikian, saya agak terasa hati.

“Saya tak sangka ada orang yang sanggup meninggalkan komen sebegitu pada zaman ini. Mereka juga tidak sepatutnya menghakimi saya. Saya juga masih baru bergelar mualaf.

“Masih ada banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Bila dapat komen-komen sebegitu, ia lebih membuatkan saya rasa down dan keliru,” katanya kepada MH ketika ditemui selepas konsert minggu ke-5 GV12, baru-baru ini.

Kata penyanyi Polaroid itu lagi, komen tersebut masih bermain di fikirannya sehingga membuatkan dia mula menyalahkan diri sendiri.

“Bila dapat komen sebegitu, saya agak terkejut dan tersentak. Saya tertanya-tanya apa salah yang saya sudah buat. Awalnya saya hanya pendam sendiri. Saya jadi rasa bersalah. Betul ke apa yang mereka katakan itu?

“Namun, selepas beberapa hari, barulah saya kongsikan kepada orang-orang terdekat. Walaupun mereka suruh saya melihatnya seperti angin lalu sahaja, namun ia sangat memberikan kesan.

“Walaupun komennya pendek, kata-kata itu agak kasar,” kongsinya lagi.

Sokongan Orang Terdekat Kuatkan Semangat

Walaupun diuji dengan komen yang menyakitkan hati, Mell bersyukur kerana ada keluarga dan rakan-rakan terdekat yang terus memberi semangat untuk dia bangkit.

“Orang-orang yang menjadi penguat semangat saya adalah keluarga dan kawan-kawan terdekat. Mereka sentiasa beri sokongan dan nasihat untuk tidak mempedulukan komen-komen itu.

“Mereka juga beri sokongan moral dan ajar saya banyak perkara,” akhirinya.

Terdahulu, dalam tayangan VT sebelum persembahan di konsert minggu ke-5 GV12, Mell dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan mengenai komen individu yang menganggap dirinya sebagai menjijikkan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf