
Pelakon, Amyza Aznan kini sedang merancang untuk menghantar anak keduanya, Adrian Adam yang menghidap kanser tulang bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta terbaik.
Amyza turut meluahkan rasa syukur atas keprihatinan dan sumbangan senua pihak yang tidak putus-putus mahu melihat anaknya kembali sembuh seperti sedia kala.
“Ketika ini, kita sedang mencari hospital swatsa yang sesuai buat Adrian. Saya ada menerima sumbangan daripada mereka yang nak melihat Adrian kembali sihat.
“Mereka juga memberikan sokongan moral supaya Adrian tidak melalui nasib yang sama seperti arwah abangnya. Jadi, mereka mahu saya hantar Adrian di hospital swasta.
“Jadi, kami masih lagi berbincang dan sudah mengenal pasti dua buah hospital untuk Adrian menjalani rawatan,” katanya, lapor mStar.
Menurut pelakon drama Andai Tiada Dia itu lagi, keadaan Adrian ketika ini masih belum menunjukkan banyak perubahan.
Malah, dia mengalami kesukaran untuk berjalan selepas kanser tulang tersebut difahamkan menyerang bahagian kaki sehingga menyebabkan bengkak.
“Keadaan Adrian tidak banyak berubah terutamanya cara dia berjalan. Kanser tulang itu menyerang bahagian kaki. Sementara kita nak menunggu rawatan di hospital, kita ada minta air (penawar) daripada ustaz,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Adrian sendiri memaklumkan dia perlu lebih banyak berehat serta menjaga pemakanan sepanjang melalui fasa rawatan ini.
“Saya rasa sakit kalau banyak berjalan. Saya kena banyak berehat. Berat badan juga turun secara mendadak. Saya bukan tiada selera makan. Mungkin disebabkan berpantang.
“Saya mengelak daripada mengambil makanan-makanan yang tidak elok untuk tumour. Ketika ini, saya banyak makan ‘real food’ dan masakan di rumah,” ujarnya.
Disebabkan faktor kesihatan, Adrian juga terpaksa menangguhkan pengajian serta menarik diri daripada beberapa program yang telah dirancang sebelum ini.
“Dia sebenarnya sudah pun memulakan pengajian. Namun, disebabkan keadaan kesihatannya ketika ini, kita tangguh dahulu.
“Saya juga nak memohon maaf kerana ketika ini, ada beberapa program yang sepatutnya Adrian sertai tetapi terpaksa menarik diri.
“Sebelum ini, kami memang sudah bersetuju tapi hari demi hari, keadaannya agak teruk. Kami terpaksa menarik diri pada saat akhir.
“Jika ada rezeki, mungkin tahun depan dia akan sertai. Segalanya bergantung kepada kesihatannya,” akhirnya.
Terdahulu pada Februari lalu, Amyza sekali lagi diuji apabila Adrian, anak keduanya disahkan menghidap kanser tulang.
Lebih memilukan, pada 24 Februari lalu, Amyza baharu sahaja kehilangan anak sulungnya, Andre Mikhail selepas setahun bertarung dengan penyakit kanser paru-paru.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Youtube Mstar & Instagram Amyza Aznan