
Pempengaruh dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee berkongsi perkembangan terkini apabila bunyi letupan dipercayai serangan udara boleh didengari berhampiran lokasi penginapannya di Damascus, Syria.
Menerusi video terbaharu yang dimuat naik di Instagram, Farah menjelaskan dia berada di luar ketika bunyi bom tersebut kedengaran.
“Okay, Farah dekat luar sekarang. As you know, Farah sekarang dekat Syria dan berada di luar.
“Tadi ada bunyi bom dan saya rasa lebih kurang 15 minit sebelum itu memang ada bunyi bom yang lebih kuat serta terasa gegaran dia,” katanya.
Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, 37, berada di Syria bagi menyampaikan bantuan Ramadan menerusi pertubuhan kebajikan, Childrity.
Dalam masa sama, Farah memaklumkan penerbangannya pulang ke Malaysia telah dibatalkan susulan penutupan ruang udara.
“Tadi pun kami dapat tahu yang flight telah dibatalkan. Penerbangan dari Damascus ke Istanbul dan dari Istanbul ke KL pun belum tentu macam mana keadaannya. Itulah situasinya sekarang.
“Tapi Insya-Allah kita semua dekat sini selamat saja, tak ada apa-apa. Cuma kami terkandas sebab ruang udara ditutup. Itu sahaja. We are all okay here, insya-Allah,” katanya lagi.
Farah menjelaskan keadaan di Syria setakat ini tidak terjejas secara langsung dan memohon orang ramai agar mendoakan supaya konflik melibatkan negara-negara terlibat tidak berlarutan.
“Syria setakat ini tidak terjejas. Hanya doakan supaya perkara ini tidak berlarutan dan kami dapat balik beraya di Malaysia Insya-Allah.
“Kami semua okey di sini, tak ada masalah. Cuma ada gegeran dan bunyi bom, itu sahajalah. Doakan supaya serangan-serangan ini tidak berlanjutan.
“Supaya flight kami dapat diteruskan dan kami dapat pulang ke Malaysia dengan selamat Insya-Allah. Farah pun tak tahu bila dapat balik.
“Tapi HasbiAllah wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah menjadi penolong kami), insya-Allah,” kongsinya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan doa buat keselamatan Farah dan pasukannya, selain berharap agar mereka dapat kembali ke tanah air dengan selamat.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.