Categories: Berita Hiburan

“Kami Sangat Fleksibel. Segalanya Berbincang…,” – Pertama Kali Beraya Bersama Keluarga Fattah, Amira Teruja Nak Jalankan Tanggungjawab Sebagai Isteri & Menantu

Share

Pelakon dan penyanyi, Amira Othman akui teruja menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga suaminya, Fattah Amin di Kuala Lumpur.

Bagi Amira, pengalaman pertama beraya sebagai seorang isteri membuka ruang untuknya lebih mengenali keluarga sebelah suami, selain melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan menantu dengan sebaiknya.

“Tahun ini merupakan kali pertama saya beraya sebagai seorang isteri. Ini bakal menjadi pengalaman pertama saya. Saya juga sudah ada tanggungjawab sebagai seorang isteri dan menantu.

“Saya pun tak sabar untuk melihat bagaimana suasana beraya di belah suami. Sebelum ini, saya hanya beraya dengan keluarga saya sahaja. Saya juga punyai keluarga yang besar. Kebetulan keluarga Fattah juga begitu.

“Jadi, saya rasa tiada banyak perbezaan. Kali ini, saya ingin menyantuni kaum keluarga dan ibu bapa belah suami,” katanya kepada MH.

Amira berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu, Bincang Raya, baru-baru ini.

 

Keputusan Beraya Dibuat Secara Fleksibel

Menurut Amira, dia akan meluangkan masa beraya bersama keluarga Fattah selama beberapa hari sebelum pulang ke Johor Bahru bagi menghadiri majlis pernikahan adiknya.

“Saya akan beraya selama tiga hingga empat hari bersama keluarga Fattah. Selepas itu, adik saya pula bakal bernikah. Saya kena luang masa lama sedikit dengan keluarga saya.

“Jadi, kita beraya dengan keluarga Fattah dahulu,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai persoalan sama ada dia ‘beralah’ dalam menentukan lokasi sambutan raya, Amira menegaskan segala keputusan dibuat secara bersama tanpa sebarang konflik.

“Bukanlah nak kata saya beralah. Kami ini sangat fleksibel. Segalanya kami berbincang dan tiada sedikit pun berlaku perbalahan. Kami berdua sangat mudah.

“Fattah bertanya dahulu kepada saya. Kemudian, saya pula yang bertanya. Jadi, kita rancang jadual itu betul-betul. Kita sama-sama jumpa titik tengah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Amira turut mengakui dia masih belum dapat membayangkan suasana berjauhan daripada keluarga sendiri pada hari raya buat pertama kali.

“Saya belum melalui hari pertama itu lagi. Saya rasa semuanya okay sahaja. Lagipun, keluarga saya selalu datang ke Kuala Lumpur. Kami kerap berjumpa.

“Fattah juga sangat fleksibel. Kalau kita nak balik Johor pada hari biasa atau waktu lapang, dia okay sahaja. Tiada apa apu yang berbeza. Ibu dan bapa mentua saya seorang yang penyayang.

“Segalanya masih sama. Bezanya hanya tanggungjawab,” akhirinya.

Sebagai rekod, Amira dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025.

Sebelum itu, Fattah pernah berkahwin dengan pelakon Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum disahkan bercerai pada 7 Oktober 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf