
Pasangan selebriti dan usahawan, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, terus menjadi contoh teladan apabila secara konsisten menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta selama tiga tahun berturut-turut menerusi syarikat mereka, Wawa Global Sdn Bhd, demi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
Perkara tersebut dikongsikan sempena Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam, pada Selasa.
Komitmen berterusan pasangan ini sekali gus mencerminkan tanggungjawab sosial dan kewajipan agama yang dititikberatkan, seiring dengan kejayaan perniagaan yang mereka usahakan.
Sumbangan zakat perniagaan itu disalurkan melalui LZS bagi memastikan proses agihan dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kepada golongan sasaran, termasuk fakir miskin, anak yatim serta individu yang memerlukan sokongan ekonomi berterusan.
Menurut Wawa Zainal, kejayaan dalam perniagaan tidak seharusnya diukur melalui keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan rasa syukur dan tanggungjawab untuk berkongsi rezeki.
“Kami percaya setiap rezeki yang Allah kurniakan ada hak orang lain di dalamnya. Zakat bukan hanya satu kewajipan, tetapi juga cara untuk membersihkan harta dan menenangkan hati.
“Jika perniagaan kami berkembang, maka lebih besar tanggungjawab kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambah Wawa, konsistensi dalam menunaikan zakat perniagaan merupakan prinsip yang dipegang sejak awal pembabitan mereka dalam dunia perniagaan.
“Kami bermula dari bawah, jadi kami sangat memahami erti kesusahan. Harapan kami, sumbangan ini dapat memberi manfaat sebenar kepada asnaf dan menjadi asbab keberkatan serta kelangsungan perniagaan kami,” katanya lagi.
Sementara itu, pihak LZS turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen berterusan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh terbaik kepada usahawan Muslim untuk menunaikan zakat secara konsisten dan beramanah.
Inisiatif pasangan ini bukan sahaja memberi impak besar kepada golongan memerlukan, malah membuktikan bahawa kejayaan dalam dunia hiburan dan perniagaan mampu berjalan seiring dengan nilai kemanusiaan serta keprihatinan sosial.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini